Lawatan Yayasan Chow Kit ke KLIA

Pada tanggal 7hb September, kelab permotoran MAG Bikers telah menganjurkan satu lawatan anak-anak Yayasan Chow Kit ke Klia. Seramai 30 orang kanak-kanak dan 4 orang guru pengiring telah menyertai program ini. Kesemua peserta khususnya kanak-kanak begitu teruja apabila bas dinaiki mereka diiringi motosikal berkuasa tinggi dari kelab MAG Bikers dan pasukan polis trafik.

Setibanya di KLIA, lokasi pertama adalah bangunan terminal utama. Para peserta disambut kakitangan kaunter yang bertugas dan diberi penerangan tentang operasi di KLIA. Selepas itu, mereka dibawa ke Anjung Tinjau untuk melihat aktiviti di pesawat sebelum pesawat berlepas. Lokasi kedua lawatan ialah kompleks kejuruteraan (hangar). Di sini mereka telah diberi penerangan mengenai penyelenggaraan pesawat dan tugas-tugas juruteknik dan jurutera. Di sini juga mereka dapat melihat pesawat dengan lebih dekat lagi.

Lokasi terakhir lawatan ialah ke Anjung Spotted. Mereka sungguh teruja dapat melihat pesawat mendarat dan berlepas di sini. Sesi soal jawab berlangsung dengan meriah sekali kerana begitu banyak persoalan di minda mereka. Sebelum berangkat pulang, setiap anak-anak ini diberi cenderahati untuk kenangan. Harapan kami semoga mereka dapat memanfaatkan dengan sedikit pengetahuan untuk mereka gunakan nanti. Sekalung penghargaan yang tak terhingga kepada Mas Awana kerana sudi menaja makan tengah hari dan ucapan terima kasih juga kepada dermawan yang telah menderma untuk menjayakan program lawatan ini.

Perkongsian : MAG Bikers