Laung Amaran Awal, Raih Gelaran 2023

Pasukan Yuzy Racing Team melaungkan amaran awal bahawa pasukannya akan mensasarkan gelaran juara dalam saingan perdana saingan cub prix selepas mendapat suntikan awal apabila bekerjasama dengan syarikat minyak pelincir jenama Itali, Estremo. Kerjasama ini menyaksikan jenama minyak pelincir Estremo akan bergandingan bersama pasukan Yuzy Racing dalam saingan 10 pusingan Kejuaraan Petronas Malaysia Cub Prix bagi cabaran musim 2023 yang bermula Februari ini.

Untuk info, Estremo Bersama Honda Yuzy Racing akan bertindak selalu penaja utama selama tiga musim bermula dari 2023 hingga 2025. Pemilik pasukan, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini berkata pasukannya akan mengintai peluang untuk merebut kembali gelaran juara keseluruhan saingan Kelas CP150 menerusi pelumba terbaiknya, Azroy Hakeem Anuar.

“Kami mensasarkan gelaran juara CP150 musim 2023 ini. Bukan sahaja juara bagi pelumba malah kami turut mengintai peluang menjuarai gelaran berpasukan dengan barisan pelumba yang ada ketika ini,” ujar Shahrol Yuzy selepas majlis perasmian pasukannya – Honda Yuzy Estremo Team di ibu negara baru-baru ini.

Untuk rekod, pasukan itu muncul naib juara menerusi Azroy pada tahun 2019 dan 2020 sebelum muncul juara pada tahun 2021 namun tahun lepas (2022) sekali lagi muncul naib juara selepas gagal menyaingi pasukan pada peringkat awal saingan.

Selain Azroy, Honda Yuzy Estremo Team membariskan Md Idlan Haqimi Raduan dan juga anak Shahrol Yuzy sendiri, Shahrol Syazras bagi kelas CP150 musim 2023. Menyentuh mengenai saingan di peringkat Asia, Shahrol Yuzy menjelaskan bahawa pasukannya akan membuat kemunculan semula di pentas Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) selepas tidak membuat penampilan ekoran pandemic Covid-19 sebelum itu.

Untuk pentas ARRC, Azroy Hakeem akan mengambil beraksi dalam saingan kelas 600cc sementara Shahrol Syazras bersama gandingan baharu, Haziq Hamdan diberi peluang untuk beraksi bagi kategori Underbone 150cc. Saingan kejuaraan cub prix musim 2023 akan berlangsung sebanyak 10 pusingan dengan saingan pusingan pertama yang dijadualkan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (Utara) pada 25 dan 26 Februari depan.