Latih Minda Untuk Mengelak Ancaman Bahaya

Terdapat pelbagai faktor boleh menyebabkan kemalangan yang melibatkan motosikal seperti keadaan jalan yang kurang baik, kesalahan pengguna jalan raya lain, cuaca dan macam-macam lagi. Bukan itu sahaja, kemalangan boleh juga disebabkan kesalahan dan kelalaian penunggang motosikal sendiri.

Berita baiknya, sekolah-sekolah memandu lanjutan dan guru-guru telah mengenalpasti beberapa faktor yang menyebabkan kemalangan berpunca dari kesilapan penunggang motosikal. Mungkin tidak ramai yang sedar tetapi setiap manusia dilengkapi dengan beberapa sistem pertahanan bina-dalam yang dikenali sebagai naluri untuk meneruskan kehidupan atau dalam perkataan lebih mudahnya, ‘survival instincts.’

Disebabkan sifat naluri untuk meneruskan kehidupan ini juga menyelamatkan datuk moyang kita. Salah satu naluri ini juga digelar sebagai ‘target fixation’.

Apa itu ‘target fixation’?
Naluri bermula di bahagian otak yang memberitahu agar mata memerhatikan situasi berbahaya atau halangan yang ditempuhi. Tidak dinafikan, naluri sering berfungsi dengan cukup baik sekiranya berhadapan dengan situasi berbahaya atau pun berhadapan dengan pemangsa. Namun, lain ceritanya kalau anda sedang menunggang motosikal terutama ketika memecut laju. Debaran jantung anda makin bertambah laju, selaju kelajuan anda menunggang motosikal.

Tentu anda pernah mengalami situasi ini, memasuki selekoh sedikit laju kerana pandangan terkunci dengan keadaan di luar selekoh bukannya ketika menempuhinya? Atau mungkin juga, sebuah kereta berada benar-benar berhadapan dengan anda selepas keluar simpang dan berharap ia cepat-cepat pergi dari laluan anda? Mungkin juga, jalan berlopak di atas jalan raya tetapi anda tetap menempuhinya walaupun sebenarnya ia masih mampu dielakkan?

Semua keadaan itu berlaku kerana otak atau minda memberitau mata untuk fokus kepada bahaya. Itulah yang dinamakan target fixation!

Jadi, bagaimana cara untuk mengubahnya?
Sepertimana mengubah tabiat-tabiat buruk, kita boleh latih minda untuk mengatasi masalah ini. Ya, masalah target fixation ini boleh diatasi dengan beberapa latihan seperti di bawah;

Sentiasa ingat perkara ini;
– Motosikal akan mengikut arah mana yang anda lihat.
– Tunggang motor dengan pemandangan yang luas – jangan biarkan pemandangan anda dikecilkan.
– Pemandangan luas seolah-olah membuka jalan di hadapan anda sekaligus memberikan lebih banyak ruang
– Alihkan pandangan ke tepi halangan sekiranya ada dan tunggang motor menjauhi halangan tersebut.

Praktis
– Cari laluan yang tiada trafik atau lebih bagus lagi, cari tapak letak kereta yang luas
– Lihat ke hadapan dengan pemandangan yang lebih luas
– Bayangkan ada lopak atau apa-apa juga halangan lain, di antara 5 ke 10 meter di hadapan anda (bergantung kepada kelajuan anda)
– Lihat di bahagian sisi, kiri atau kanan.
– Kemudian tunggang motor ke arah bertentangan.

Lakukan latihan berterusan sehingga menjadi tabiat agar otot-otot anda mampu mengikut perkara yang sama (otot memori).