Langkah Strategik Dijangka Akan Mengukuhkan Kedudukan SYM dalam Pasaran Tempatan

Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd., pengedar rasmi bagi motosikal jenama SYM di Malaysia, sekali lagi mencipta kejayaan membanggakan apabila menerima dua anugerah utama iaitu “2025 Best Seller” dan “2025 ADXTG Best Seller” sempena pameran motosikal antarabangsa paling berprestij dunia, EICMA yang berlangsung di Milan, Itali.

Jenama SYM, yang berasal dari Taiwan, merupakan salah satu pengeluar motosikal terkenal di Asia dan menduduki tempat pertama dalam pasaran domestik Taiwan dengan penguasaan kira-kira 40%. Kejayaan ini menunjukkan kekuatan jenama tersebut dalam menawarkan motosikal yang berkualiti tinggi, dipercayai dan sesuai untuk pelbagai gaya penggunaan.

Pengiktirafan yang diterima oleh Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. ini adalah bukti kejayaan syarikat dalam memperkukuh jenama SYM di Malaysia melalui rangkaian pengedaran yang sistematik, pemasaran yang efektif serta sokongan selepas jualan yang konsisten.

Menurut Asri Ahmad, Ketua Pegawai Operasi Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd., pencapaian ini adalah hasil kerjasama erat di antara pasukan, rakan pengedar serta pelanggan setia di seluruh Malaysia.

“Kami berterima kasih kepada semua pelanggan yang memberikan kepercayaan kepada motosikal SYM. Sebagai pengedar rasmi, kami berazam untuk terus meningkatkan kualiti perkhidmatan selepas jualan demi memberikan pengalaman pemilikan yang terbaik.”

Asri turut menambah bahawa pencapaian membanggakan itu, Mforce seterusnya akan memperkukuh sokongan pelanggan dengan fokus antaranya:

1. Pengembangan konsep “Mforce Premium Outlet” yang menawarkan pengalaman pembelian dan perkhidmatan lebih eksklusif.

2. Pembesaran dan penambahbaikan rangkaian pusat servis sedia ada bagi memastikan akses dan kecekapan perkhidmatan lebih baik di seluruh negara.

Langkah strategik ini dijangka akan terus mengukuhkan kedudukan SYM dalam pasaran Malaysia dan menambah keyakinan pengguna terhadap jenama tersebut pada masa akan datang.