Langkah Prihatin untuk Komuniti Terjejas Kerjasama PEN-SAU-TOBAKI-PPOC

Misi bantuan bencana banjir anjuran PEN Express Worldwide (M) Sdn. Bhd. dengan kerjasama Proton Persona Owner Club (PPOC) dan Santai Anak Utara (SAU), serta sokongan rakan penaja Tobaki dan Roti Merdeka yang diadakan pada 8 Disember lalu, berjaya menghantar satu lori kontena penuh bantuan ke kawasan terjejas di Negeri Kedah.

Lokasi agihan utama termasuk Kuala Nerang, Pokok Sena, Anak Bukit, dan Gunung Keriang. Di Kuala Nerang, pengagihan dilakukan di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Padang Terap dengan kerjasama YB Ustaz Nurul Amin Bin Hamid, Ahli Parlimen Padang Terap. Misi ini memberi tumpuan kepada penghantaran barangan keperluan asas seperti beras, sardin, roti, dan gula untuk meringankan beban keluarga yang kehilangan tempat tinggal atau mengalami kerosakan teruk akibat banjir.

PEN Express Worldwide (M) Sdn. Bhd. memainkan peranan penting dalam menyediakan dana dan menguruskan logistik, memastikan penghantaran bantuan berjalan lancar. Dengan sokongan profesional, bantuan dapat disampaikan secara sistematik dan tepat pada masanya kepada komuniti yang memerlukan.

Proton Persona Owner Club turut berperanan sebagai pengiring konvoi untuk memastikan perjalanan selamat, manakala Santai Anak Utara bertanggungjawab menguruskan pengagihan bantuan kepada penerima di lokasi yang terjejas. Usaha ini tidak hanya mencerminkan semangat gotong-royong tetapi juga kekuatan perpaduan rakyat Malaysia dalam menghadapi cabaran.

Menurut Pengurus Operasi PEN Express Worldwide (M) Sdn. Bhd., Encik Muhamad Khuhazry Bin Khuzaimi, inisiatif ini selaras dengan seruan kerajaan untuk menyokong komuniti yang terkesan dengan bencana alam. Misi yang berakhir di kawasan Gunung Keriang ini merupakan langkah kecil dengan impak besar.

Dengan sokongan rakan kerjasama yang dedikasi, PEN Express Worldwide dan semua pihak terlibat berkomitmen untuk terus memainkan peranan dalam misi-misi bantuan akan datang. Bantuan ini bukan sahaja meringankan beban mangsa banjir tetapi juga memperkukuhkan semangat kemanusiaan dan kebersamaan dalam kalangan rakyat Malaysia.