KYB Raikan 40 Tahun Yang Cemerlang Di Malaysia

Empat dekad bukan satu tempoh yang singkat, pelbagai cabaran berjaya diharungi bersama KYB yang bertapak di Malaysia sejak 40 tahun dahulu. Di era kegawatan ekonomi sehingga pandemik dan kembali semula berhadapan dengan krisis ekonomi, KYB masih kukuh berdiri dalam industri di Malaysia.

Sempena memperingati dan meraikan 40 tahun yang penuh cemerlang ini, satu majlis makan malam “KYB 40th Anniversary Gala Dinner” telah diadakan baru-baru ini. Bertempat di Grand Ball Room di Sunway Resort Hotel. Majlis makan malam ini berjaya menghimpunkan keluarga besar KYB dari barisan tetamu kehormat sehingga para pekerja yang baru sahaja memulakan khidmat.

Antara barisan tetamu kehormat yang turut hadir pada malam bersejarah ini termasuk YBhg. Dato’ Sri Ahmad Fuaad Kenali, Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings Berhad, Ybhg. Dato’ Ir Abdul Rashid Musa, Presiden/Ketua Pegawai Mobiliti Kumpulan & Pegawai Inovasi, Bahagian Aeroangkasa dan Encik Anas Nasrun Mohd Osman, Pengarah Kumpulan Pembuatan dan Kejuteraan.

Majlis ini turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran wakil-wakil dari KYB Corporation Japan iaitu En. Masahiro Kawase,wakil Pengarah dan Presiden Ketua Pegawai Operasi (COO), Pegawai Eksekutif Pengurusan En Shozo Amano dan Tomoki Takaoka serta En. Yuji Ito, Pengarah Urusan KYB-UMW Malaysia Sdn Bhd bersama En. Cheow Lip Heng, Pengarah / Pengurus Am KYB-UMW Malaysia Sdn Bhd.

Majlis yang turut menghargai setiap warga kerja KYB ini telah dihoskan oleh pengacara serba boleh, Helmi Gimmick dan diceriakan dengan persembahan pentas yang memukau dari penari, pemuzik dan juga barisan artis terkenal tanah air termasuk penyanyi Jay Jay dan kumpulan Dolla.

Namun acara yang paling dinanti-nantikan tentunya penyampaian perkhidmatan cemerlang kepada para pekerja yang telah berkhidmat dengan KYB selama 10 tahun, 20 tahun, 30 tahun dan juga 40 tahun. Ini diikuti pula dengan acara Cabutan Bertuah di mana pemenang utamanya membawa pulang sebuah kereta Perodua Axia.