Konsep Sugomi Jadi Perhatian


Dari pandangan sudut mana pun Kawasaki Z1000 ini dilihat, pasti mampu membuatkan sesiapa sahaja terpaku. Sekurang-kurangnya itulah yang terjadi kepada saya dan mereka yang pandai menghargai seni. Kawasaki memanggil konsep rekaan ini sebagai Sugomi. Sugomi bermaksud aura kuat atau tenaga yang dikeluarkan oleh orang atau objek hebat. Ia kemudian memberi kesan berpanjangan kepada mereka yang melihat atau merasainya.

Sejujurnya, pelaksanaan konsep tersebut oleh jurutera Kawasaki sememangnya memberi kesan. Pada manusia, kesannya memang dapat dirasai dengan ketara. Ke mana sahaja saya menunggang motosikal ini, pasti banyak mata yang memandang. Seakan-akan penulis menunggang unicorn pula.

Bahagian paling penting yang mengetengahkan konsep Sugomi ialah lampu utama yang diletak pada posisi rendah. Manakala tangkinya pula bersaiz besar dan tinggi. Hendak dikatakan seperti lembu jantan ada, seperti harimau yang ingin menerkam pun ada. Begitulah kuatnya kesan Sugomi apabila dipandang. Tetapi, apabila berada di atas Z1000, anda akan dapat merasai ia bukan setakat visual, malah turut mengambil kira ergonomik penunggang.

Apa yang saya maksudkan ialah, sebagai contoh lekuk yang ada pada tangkinya membuatkan bahagian ini lebih sedap dipeluk. Bagi saya, ciri ini memang cukup dihargai semasa membrek kuat. Rekaan ini membolehkan beban dialihkan ke bahagian kaki dan peha, berbanding pergelangan tangan untuk menahan kuasa membrek tersebut. Pemegang Z1000 tidak terletak rendah seperti motosikal sports. Walaupun bahagian hadapan nampak seperti menjunam, pemegang ini mudah dicapai dan tidak menyeksa penunggang.

Justeru, biarpun menunggang di bandar dan mengharungi jalan yang sesak, penunggang tidak akan merasa tekanannya. Lagipun penarik klac boleh digunakan dengan mudah kerana tidak terlalu berat. Saya yang biasa menggunakan dua jari masih mampu bertahan tanpa merungut semasa mengharung trafik pada waktu puncak. Sekiranya anda membuat perkiraan untuk menjadikan jentera ini sebagai penggerak harian, anda tidak perlu risau kerana ia mudah dikawal.

Walaupun kedengaran seperti kurang praktikal, terutama apabila mengambil kira kos bahan api dan penjagaan, motosikal ini bagaimanapun mudah dikawal dengan pusingan pemegang yang ringan. Namun, itu sedikit pun tidak mengganggu prestasi Z1000 apabila berada di atas lebuh raya. Sebagai sebuah jentera yang menggunakan enjin 1,043cc, kuasa yang mampu dihasilkan adalah lebih dari mencukupi.

Pada tahap 4,000rpm, saya sudah terasa ingin menaikkan gear untuk gaya tunggangan yang santai. Namun, sebenarnya anda boleh menikmati kuasa enjin bermula dari tahap yang rendah sehingga 11,000rpm untuk kuasa maksimum. Harus tahu bahawa walaupun tidak menurunkan gear, anda masih boleh memotong kenderaan lain dengan pantas dan selamat. Bagi menjadikan tunggangan lebih lancar, gear boleh ditukar dengan cepat.

Penukar gear yang digunakan oleh Kawasaki bukan daripada jenis ‘quick shifter’, tetapi ia agak pendek. Dengan sedikit kuisan sahaja, gear dapat ditukar. Bukan setakat di atas lebuh raya, jentera yang didatangkan terus dari Jepun ini juga boleh diajak berseronok di jalan berliku. Bahagian hadapannya mungkin nampak berat, tetapi ia tetap mudah dikendalikan.

Melalui jalan kecil dan banyak selekoh, saya mendapati motosikal ini memang mudah untuk berubah arah dan tidak terlalu berat. Ada kalanya ia terasa lebih mudah dikawal berbanding Z800. Kawasaki Z1000 mempunyai tangki sebesar 17 liter. Dengan isian penuh, saya mampu mencatat perjalanan hampir 200km melalui jalan yang bercampur, biasa dan lebuh raya. Harus diingat, catatan ini mungkin boleh diperbaiki jika ditunggang dengan sewajarnya.

Satu lagi ciri yang amat saya hargai pada Kawasaki Z1000 adalah lampu hadapan yang menggunakan LED. Pancaran cahayanya cukup terang, terutama pada waktu malam. Ini menjadikan keadaan lebih selamat untuk penunggang. Jika lampu tinggi dinyalakan, dengan serta merta kenderaan lain akan memberi laluan.

Spesifikasi
Kawasaki Z1000 2014
Enjin: 1,043CC, empat silinder sebaris, empat strok, penyejukan cecair, DOHC, 16 injap, pancitan bahan api
Transmisi: Enam kelajuan, pacuan rantai, klac basah multi disc
Kuasa maksimum: 140hp @ 10,000rpm
Tork maksimum: 111Nm @ 7,300rpm
Kapasiti tangki: 17 liter
Brek hadapan: Dua cakera 310mm, angkup Monobloc empat piston
Brek belakang: Cakera 250mm, angkup piston tunggal
Suspensi hadapan: Fork terbalik 41mm, dengan pelarasan tekanan, lantunan dan beban
Suspensi belakang: Monoshock mendatar dengan pelaras lantunan dan spring