Kini Sarat Ciri Canggih, Enjin Lebih Padu dan Gaya Lebih Moden

TAHUN 2012 atau lebih tepat pada tanggal Oktober tahun tersebut, Honda ketika itu memperkenalkan skuter premium Honda PCX 150cc dengan menawarkan banyak ciri-ciri menarik antaranya sistem Idling Stop, sistem pemberhentian jenis CBS, suis tongkat sisi, roda aluminium 14 inci tanpa tiub dan banyak lagi.

Dari segi penampilan, reka bentuk Honda PCX ketika itu boleh dikatakan agak menarik dan terdapat ciri-ciri sporty dan aero dinamik. Namun tawaran yang diberikan tidak cukup untuk menarik perhatian penggemar motosikal ketika itu.

Antara faktor penolakan peminat di Malaysia adalah jentera kapchai masih lagi berkuasa dan diminati sehingga kini. Hal itu menyebabkan model berkenaan ditamatkan pengeluarannya memandangkan permintaan daripada rakyat Malaysia belum ‘hangat’ berbanding pasaran di Indonesia mahupun Thailand.

Penulis sempat merasai pengalaman menunggang model Honda PCX generasi pertama pada tahun pelancaran ketika itu. Secara jujur, ia merupakan skuter yang cukup selesa untuk dibawa berulang alik ke tempat kerja, namun amat tidak digalakkan untuk satu perjalanan yang jauh.

Ya, itu cerita dahulu. Kini selepas 6 tahun (kali terakhir 2018) menghilang, model ini kembali semula ke pasaran tempatan apabila Boon Siew Honda Sdn Bhd (BSH) memperkenalkan model terkini iaitu Honda PCX160 serba baharu.

Tidak dapat dinafikan bahawa keterampilan yang ditunjukkan oleh PCX160 amat mengujakan penulis. Dari bahagian lampu depan hingga ke lampu bahagian belakang, penulis percaya model ini mampu memikat semula peminat motosikal tanahair.

Pendek kata, Honda PCX160 hadir dengan reka bentuk yang lebih premium dan moden selain dilengkapi teknologi terkini antaranya Honda RoadSync yang membolehkan penunggang menyambung aplikasi dalam telefon ketika menunggang.

Tidak berhenti di situ, banyak perubahan secara total yang diberikan pada model PCX 160 berbanding versi PCX 150 satu ketika dahulu. PCX160 turut dilengkapi Honda Selectable Torque Control (HSTC) dan sistem brek Anti-Kunci (ABS) bagi membantu meningkatkan kawalan serta keyakinan penunggang ketika menunggang.

Jika anda kerap melakukan aktiviti hujung minggu, jangan risau dengan tahap bahan api yang disimpan pada model ini. Tangki bahan api berkapasiti 8.1liter, jentera ini mampu menawarkan jarak perjalanan sehingga kira-kira 350 kilometer.

Jika anda sangsi, ketahuilah bahawa model ini diiktiraf sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) dengan penggunaan bahan api serendah 2.3liter bagi setiap 100km. Paparan meter TFT bersaiz 5-inci, membolehkan si penunggang mengakses pelbagai aplikasi seperti navigasi, panggilan telefon, muzik serta notifikasi mesej terus dari panel meter ketika menunggang.

Keyakinan tunggangan turut dipertingkatkan menerusi teknologi Honda Selectable Torque Control dan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), yang kebiasaannya terdapat pada jentera berkuasa besar.

Dari segi praktikaliti, PCX160 menawarkan ruang simpanan bawah tempat duduk (U-Box) berkapasiti 30liter yang mampu memuatkan beg komputer riba, baju hujan dan barangan keperluan harian, sesuai dengan cuaca Malaysia yang tidak menentu.

BSH menawarkan jaminan tambahan selama setahun menerusi program Honda X-Tend Warranty kepada pemilik Honda PCX150 yang menukar beli motosikal mereka untuk menaik taraf kepada PCX160 baharu. Tawaran itu sah sehingga 31 Disember 2026 melalui Honda Impian X, pengedar Honda terpilih dan pusat pemeriksaan iMotorbike.

Honda PCX160 ditawarkan dalam pilihan warna kelabu dan putih, dijangka mula tersedia di Honda Impian X serta pengedar sah Honda di seluruh negara mulai 14 Oktober 2026, dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 kilometer, mengikut mana-mana yang terdahulu.

SPESIFIKASI HONDA PCX 160
Enjin & Prestasi
Jenis Enjin: 156.9cc (atau ~157cc), 4-lejang, SOHC, 4-injap, penyejukan cecair, teknologi eSP+
Kuasa Maksimum: 11.8 kW (16 PS) pada 8,500 rpm
Tork Maksimum: 14.1 Nm hingga 14.7 Nm pada 6,500 rpm
Bore x Stroke: 60.0 mm x 55.5 mm
Nisbah Mampatan: 12.0 : 1
Sistem Bahan Api: PGM-FI (Injeksi Bahan Api)
Transmisi: Automatik CVT (V-Matic)
Pensijilan: Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) – penggunaan bahan api sekitar 2.3 liter / 100 km
Dimensi & Kapasiti
Kapasiti Tangki Minyak: 8.1 liter
Ketinggian Pelana (Seat Height): 764 mm
Ruang Simpanan Bawah Pelana: 30 liter (muat topi keledar full-face)
Suspensi & Brek
Suspensi Depan: Fork teleskopik
Suspensi Belakang: Penyerap hentak berkembar (dual rear suspension), dengan varian tertentu dilengkapi tabung (sub-tank)
Sistem Brek & Keselamatan: Brek cakera depan dan belakang dengan ABS (Anti-lock Braking System) serta Honda Selectable Torque Control (HSTC)
Ciri-Ciri Moden
Paparan Meter: Skrin TFT 5-inci dengan integrasi Honda RoadSync (panggilan, mesej, muzik, dan navigasi)
Kunci: Sistem Honda Smart Key (keyless)
Pengecasan: Soket pengecas USB Type-C pada konsol hadapan
Lampu: Sistem pencahayaan penuh LED