Kiki & Diavel

Nurul Alis Aidil Akhbar atau lebih dikenali dengan gelaran Kiki merupakan nama yang tidak asing lagi bila membicarakan selebriti, dunia automotif dan sukan motor. Jika anda pernah lalui zaman kegemilangan majalah dan tabloid hiburan tanah air, wajah Kiki sering kelihatan kerana di waktu itu, dunia sukan motor dan automotif jarang sekali melibatkan golongan wanita. Beliau antara beberapa selebriti yang terkenal dalam dunia automotif.
Pernah terlibat dalam industri media dan penyiaran lebih 20 tahun bersama RTM. Beliau dikenali sebagai penyampai berita dan juga pengulas dan penyampai berita sukan, Kiki pada hari ini dilihat cuba menjauhkan diri dari lensa kamera.

Beliau lebih banyak menumpukan masa bersama keluarga dan juga perniagaan. Kehidupan bahagia bersama suami dan anak-anak yang semakin meningkat dewasa ‘memperlahankan’ aktiviti permotoran sekurang-kurangnya di mata pengamal media.

Sebenarnya beliau tidak pernah menyepi dalam dunia sukan motor, apatah lagi sering dilihat bersama kelompok penunggang wanita dalam beberapa aktiviti konvoi bermotosikal. Pernah menjawat jawatan penting dalam Ducati Club Malaysia pada 2014 sebagai Setiausaha Kelab dan Naib Presiden pada sesi 2015. Beliau bersama beberapa penunggang lain telah mengambil inisiatif menubuhkan kelab Desmodonna Malaysia pada 2014 khusus untuk penunggang wanita dan memegang jawatan presiden.

Walaupun menunggang sebuah Diavel yang diketahui berkuasa tinggi dan agak berat untuk dikendali, Kiki sebenarnya mempunyai kisah lucu di awal pembabitannya dalam dunia motosikal. Kali pertama memiliki motor beliau tak tahu bagaimana untuk menunggang. Anehnya, motor dibeli sebab cantik kerana sahabat jurufotonya yang bernama Peter ingin segera menjualnya.

Sejak dari saat itu, beliau telah memperbaiki kemahiran dan memiliki beberapa jenis motosikal berkuasa tinggi seperti Honda CBR 600 F2, Honda CBR 600 F41, Ducati Monster 795, BMW R1200R dan termasuk Diavel 1200 ini.
Beliau yang pernah memenangi Anugerah Selebriti Sukan RTM dan tersenarai sebagai 5 terbaik di anugerah ABPH bagi kategori Penyampai TV Wanita Paling Popular ini ternyata cukup peramah ketika ditemubual. Antara kenangan paling berharganya dalam aktiviti bermotosikal ialah konvoi dari Jakarta ke Bali bersama Imbi di Indonesia dan menunggang ke Mae Hong San, Thailand dalam program yang dikenali sebagai 1000 Corner bersama Ducati Club.

Berbeza dengan kebanyakan penunggang wanita yang kami temui sebelum ini yang lebih gemar membiarkan motosikal dalam keadaan asal, Kiki pula ‘membelai’ Diavel lebih dari sekadar tunggangan. Perkara pertama yang dibuat bila mendapat jentera unik ialah menukar sistem ekzosnya kepada set penuh dari Race Fit. Manifold asal diubahsuai dengan lapisan seramik untuk mengurangkan tahap kepanasan haba yang terhasil. Kemudian, badan asal diwarnakan semula dengan tema bebas pilihan beliau sendiri.

Beberapa aksesori Rizoma dipasangkan. Pelana asal digantikan dengan kerusi Ducati Performance, penghadang angin juga dari Ducati Performance. Aksesori yang lain ialah lampu belakang custom dan sensor tekanan tayar Fobo. Dan sewaktu ditemubual juga nampaknya beliau ada banyak lagi projek masa depan motosikal ini. Kami di Roadstar akan sentiasa mendoakan yang terbaik untuk beliau.