Program Merdeka Ride Border to Border yang berlangsung pada 31 Ogos 2025 lalu telah membawa semangat kemerdekaan ke tiga lokasi sempadan utama di utara tanah air; Bukit Kayu Hitam, Padang Besar dan Wang Kelian. Dianjurkan oleh Rose Rider Entertainment, ride ini dijayakan bersama penglibatan beberapa kelab permotoran yang turut serta dalam menghidupkan suasana Hari Kebangsaan melalui aktiviti berkonvoi dan pengibaran Jalur Gemilang.
Perarakan merdeka bermotosikal ini disertai oleh 12 orang riders dengan pelbagai jenis motosikal. Walaupun bilangannya kecil, perjalanan mereka membawa makna yang cukup besar. Menghayati kemerdekaan melalui pengalaman di jalan raya sambil menghampiri tiga pintu sempadan Malaysia. Panorama sepanjang laluan menjadi antara tarikan utama, memberi peluang kepada penunggang menikmati keindahan alam dan suasana komuniti setempat di setiap daerah yang dilalui.
Kemuncak program ini adalah pengibaran Jalur Gemilang di ketiga-tiga pintu sempadan. Aksi ini bukan sahaja menjadi simbolik kepada perjalanan “border to border”, tetapi juga menguatkan rasa cinta peserta terhadap tanah air. Program turut diserikan dengan kehadiran Bro Zass, pengasas yang menjadi figura penting dalam penganjuran ride ini.
Selain itu, kesederhanaan acara ini membuka ruang untuk interaksi yang lebih rapat antara peserta. Setiap hentian, setiap detik sepanjang perjalanan, menjadi peluang untuk berkongsi pengalaman, membantu sesama rider dan mengukuhkan hubungan sebagai satu komuniti. Walaupun ringkas, perjalanan ini meninggalkan kenangan bermakna kepada semua yang terlibat.
Dengan harapan yang disampaikan oleh penganjur, Merdeka Ride Border to Border diadakan bukan sekadar untuk meraikan ulang tahun kemerdekaan negara, tetapi untuk mempererat hubungan persahabatan dalam kelompok permotoran dan mencipta kenangan bersama. Semangat ini diharap terus hidup dalam setiap aktiviti yang dijalankan pada masa hadapan.