JENAMA minyak pelincir tempatan PETRONAS Sprinta, memperkenalkan produk terbarunya yang direka khusus untuk motosikal enjin V-Twin, PETRONAS Sprinta F900HD. Produk terbaharu bagi minyak pelincir jentera berkuasa tinggi dipadankan dengan teknologi UltraFlex™ yang terkenal dengan keupayaan mengekalkan kestabilan prestasi enjin walaupun di bawah tekanan dan suhu tinggi.
Untuk info pengguna, F900 HD merupakan minyak enjin ini amat ideal bagi model motosikal jenis cruiser, touring dan enduro dibawah naungan PETRONAS Lubricants Marketing (Malaysia) Sdn Bhd, PETRONAS Sprinta F900 HD telah diformulasikan dengan campuran Ester+ dan bahan asas sintetik premium polyalphaolefin (PAO) dan ia bukan sahaja memenuhi, malah melepasi piawaian antarabangsa JASO MA2 dan API SN.
Dua model telah diperkenalkan pada satu majlis perayaan bagi Ulang Tahun Ke-10 WMGS ASEAN di Sungai Petani, Kedah, PETRONAS F900 HD ditawarkan dalam dua gred kelikatan, 10W-60 dan 20W-50, bagi menepati keperluan pelbagai jenis enjin V-Twin. Kedua-dua produk itu ditawarkan pada tag harga berbeza dengan harga runcit RM97 bagi botol 10W-60 manakala bagi botol 20W-50 ditawarkan pada harga RM93.
Ketika diajukan pertanyaan keberadaan produk ini ke pasaran tempatan, ini jawapan yang diberikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Lubricants Marketing (Malaysia) Sdn Bhd, Mohd Zameer Zahur Hussain.
“Produk ini akan mula berada di bengkel terpilih PETRONAS, termasuk pusat servis Harley-Davidson dan bengkel-bengkel yang memberi tumpuan kepada motosikal enjin V-Twin.
“Harga agak berbaloi dan jauh lebih ekonomi berbanding jenama minyak pelincir lain. Bagi pasaran di stesen minyak PETRONAS, ia akan dipasarkan selepas tiga bulan dari pelancaran di sini,” ujar Mohd Zameer Zuhar.