Kepadatan kuasa Triumph Speed Triple

Bagi sebuah syarikat yang sudah mula beroperasi sejak tahun 1885, Triumph sememangnya banyak menyimpan sejarah dan mempunyai pengalaman yang membantu perkembangannya. Selepas melalui beberapa peralihan zaman, Triumph semakin dikenali. Bukan sahaja menerusi model yang berciri klasik. Malah motosikal buatannya melangkaui pelbagai genre termasuklah adventure, cruiser, roadster, supersport dan touring.

Salah satunya, Speed Triple ini yang mempunyai kualiti binaan begitu baik. Sekali gus membuatkan wang yang dibelanjakan untuk membeli motosikal ini rasa berbaloi. Ketinggian kualiti binaannya dapat dilihat pada bahagian-bahagian kecil yang selalu dipandang. Sebagai contoh, panel meter, butang-butang kawalan di bahagian pemegang hendal serta kerangka tiub berkembarnya.

Apa lagi ciri yang menjadi tanda keunikan beberapa model Triumph? Ya, penggunaan enjin tiga silinder sebaris. Bagi model Speed Triple, enjinnya berkapasiti 1,050cc. Sebaik sahaja dihidupkan, ia mengeluarkan deruman bunyi yang tersendiri dan berdengung ketika melalui ekzos berkembar yang diletakkan tinggi di bahagian belakang.

Dengan kemampuan menjana kuasa sehingga 133hp dan tork 111Nm, menunggang motosikal ini di bandar sememangnya mengujakan. Sedikit sahaja pulasan pendikit minyaknya sudah cukup untuk memecut motosikal dan mengatasi trafik lain. Jika dipulas habis secara sembrono, jangan terkejut kalau tayar hadapan akan terangkat ke udara.

Penyampaian kuasa Speed Triple ini padat dan tidak terasa ringan seperti kebanyakan motosikal keluaran Jepun. Bukan itu sahaja, enjin tiga silinder tersebut juga tidak mengeluarkan gegaran yang berlebihan meskipun dikerah habis. Biarpun sehingga jarum rpm mencecah garisan merah di tahap 10,000rpm.

Jika dalam perjalanan jauh, keadaan ini sangat dihargai. Cuma sebagai sebuah motosikal roadster yang mempunyai penghadang angin agak rendah, tolakan angin terasa agak ketara terutama pada kelajuan tinggi. Penyelesaian paling mudah, penunggang perlu menundukkan kepalanya.

Sebaik sahaja penunggang melepaskan pendikit untuk memperlahankan motosikal, ekzos Speed Triple mengeluarkan bunyi letupan kecil. Ia bagaikan satu harmoni muzik kerana bunyinya berselang-seli antara ekzos di bahagian kiri dan kanan.

Dengan tayar berkualiti tinggi, Speed Triple tidak berdepan masalah untuk memberi kepuasan kepada penunggang semasa di selekoh. Faktor itu banyak dibantu oleh penyerapan baik oleh sistem suspensi berjenama Showa. Suspensi itu juga boleh dilaras mengikut kesesuaian penunggang.

Sepanjang menggunakan motosikal ini, saya berjaya mencatat penggunaan minyak purata sekitar 14.4 kilometer bagi setiap satu liter petrol (km/l). Apapun, motosikal Triumph menawarkan tunggangan dan pengalaman yang tersendiri pada pemiliknya.

Speed Triple
Spesifikasi
Enjin : 1,050cc, tiga silinder sebaris, 12 injap, DOHC, sistem penyejukan cecair
Transmisi : Enam kelajuan, klac basah multiplate
Kuasa maksimum : 133hp @ 9,400rpm
Tork maksimum : 111Nm @ 7,750rpm
Brek : Cakera terapung 320mm berkembar dan angkup Brembo 4 piston di hadapan, cakera 255mm tunggal dan angkup Nissin 2 piston di belakang

* Artikel ini disiarkan dalam majalah Roadstar edisi 5