Kempen Derma Darah Kawasaki Kali ke-11

Bertempat di Summit USJ telah berlangsungnya program Kempen Derma Darah Kawasaki Tahun ke-11 yang diadakan pada 16 Mac lalu dengan kerjasama Pusat Darah Negara Malaysia dan Summit USJ. Para peserta berkumpul terlebih dahulu seawal jam 8.00 pagi di Kawasaki Motors Malaysia di Glenmarie Industrial Park, Shah Alam. Sebelum mula bergerak ke lokasi, para peserta diberi sedikit taklimat dan bacaan doa mengiringi perjalanan yang dimulakan sekitar jam 9.30 pagi.

Program kali ini mendapat sambutan cukup menggalakkan dan ramai penunggang motosikal turun memberi sokongan serta menderma darah. Dimulakan dari jam 10.00 pagi hingga 6.00 petang, program ini diserikan lagi dengan aktiviti lain selain menderma darah iaitu sesi Cabutan Bertuah. Sebanyak dua kali sesi Cabutan Bertuah diadakan iaitu pada jam 12.30 tengah hari dan 4.30 petang. Para penderma juga mendapat t-shirt Kawasaki percuma sebagai kenangan.