Kembara NVOG Bersama Rakan-Rakan, Terokai Keindahan Pergunungan Himalaya

Kalau anda biasa dan suka menonton dokumentari atau filem-filem India, antara lokasi yang sering menjadi pilihan tentunya kawasan yang indah dan sejuk mata memandang. Antara lokasi yang kerap muncul dalam filem-filem India adalah Leh dan juga Kashmir. Tidak hairanlah jika ada yang mahu pergi sendiri dan menikmati keindahan yang menghiasi layar perak.

Baru-baru ini, kelab NVOG & Friends menjadikan Himalaya sebagai lokasi pilihan XPDC Autumn Ride 2023 dengan menunggang motosikal dalam misi menjelajah pergunungan Himalaya di India di daerah Leh, Ladakh sempena musim luruh tahun ini. Seramai sepuluh orang peserta dari kelab motosikal Northern Versys Owner Group yang berpusat di utara Malaysia memilih Leh, Ladakh berikutan bentuk muka buminya yang menarik.

Bukan itu sahaja, di sana juga terdapat laluan pergunungan jalan raya tertinggi yang boleh dilalui jentera bermotor iaitu Umling La dengan ketinggian 5798 meter dari aras laut. Ia merupakan puncak tertinggi setakat ini selepas Rezang La (5500m) dan Khardung La (5369m) yang suatu ketika dulu menjadi idaman bikers. Berada di sini merupakan satu cabaran kerana faktor bentuk muka bumi serta iklim cuaca yang sejuk, diikuti keadaan jalan yang sungguh mencabar.

Para peserta menjelajah dengan menunggang motosikal berkapasiti 400cc iaitu motosikal Royal Enfield model Himalayan452 dan Scram411. Kedua-dua motosikal amat bersesuaian dengan misi kali ni yang memerlukan jentera yang serasi dengan bentuk muka bumi di sana. Berikut, perkongsian dari wakil NVOG & Friends untuk pembaca Roadstar.

Hari-0, 19 Okt 2023 : Pulau Pinang – Sepang KLIA
Semua peserta berkumpul di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur jam 3.30 petang untuk berlepas ke New Delhi. Tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi (New Delhi) kira-kira pukul 8 malam (waktu India) untuk transit dan menunggu penerbangan seterusnya ke Leh, Ladakh pada jam 4.30 pagi. Sekitar pukul 9.00 pagi (waktu India), kami tiba di Leh dan disambut wakil Himalaya Explorer Agent yang menyambut ketibaan kami dan membawa ke tempat penginapan untuk bersiap sedia sebelum memulakan penjelajahan tengah hari nanti.

Hari-1, 20 Okt 2023 : Perjalanan ke Lembah Aryan menerusi Sungai Indus (anggaran jarak – 190km)
Seawal jam 11.30 pagi, kami bersiap sedia dengan jentera masing-masing. Setelah motosikal diserahkan kepada semua peserta, kami memeriksa motosikal yang bakal ditunggung. Sebelum memulakan perjalanan, kami sempat memasang Jalur Gemilang di setiap motosikal para peserta serta memakai “T-shirt NVOG (GB13) Ride Himalaya” dan perjalanan keluar dari Villa menyusuri bandar Leh menggunakan jentera Royal Enfield berjalan lancar.

Kami singgah di beberapa ‘view point’ di pinggir bandar Leh untuk menikmati keindahan alam sebelum singgah makan petang di Khalsi dan Leh Polis “Check Point” Khaltse dengan jarak perjalanan sejauh 120km. Setelah itu, perjalanan diteruskan dan selamat tiba ke Lembah Aryan pada waktu Maghrib sekitar 7.30 malam diiringi cuaca yang amat sejuk.

Kami menikmati makan malam di Aryan Villa, di mana perjalanan dari Khalsi ke Aryan Valley agak mencabar dengan mendaki bukit diikuti bentuk jalan dan muka bumi. Lembah Aryan atau Aryan Valley berada 2500 meter di atas paras laut dengan suhu mencecah di bawah 5°C.

Hari-2, 21 Okt 2023 : Aryan kembali ke Leh (194km)
Kami bangun dalam suhu yang amat sejuk. Di waktu pagi, kami bersantai dengan melawat beberapa tempat menarik di Aryan Valley, dibawa oleh orang kampung untuk ke rumah mereka serta beberapa view point yang sangat cantik. Salah satu rumah petani dan penternak di sana ada menanam buah epal dan buah anggur. Kami diberi peluang untuk memetik dan memakan buah-buahan tersebut.

Suasana kampung yang aman damai ditemani Sungai Indus amat memukau pandangan dan dari atas bukit, ia kelihatan sungguh indah. Kami dipelawa singgah dan minum oleh salah sebuah keluarga di sana. Peluang beramah mesra dengan penduduk di sana sungguh luar biasa. Kami juga dapat melihat dan mempelajari adat penduduk suku kaum Leh.

Perjalanan kami hari ini menuju pulang semula ke Villa di Leh adalah bertujuan untuk membiasakan diri dengan keadaan bentuk muka bumi dan jentera yang ditunggang. Apa yang paling penting, kami perlu memastikan badan terbiasa dengan iklim, suhu dan cuaca di tanah tinggi supaya dapat menghindari serangan “Acute Mountain Sickness” – AMS atau Akut Gunung dalam Bahasa Melayunya.

Pada malamnya di Villa, kami dipersembahkan pertunjukan tradisional oleh beberapa suku yang terdapat di sana. Sungguh unik dan menarik pertunjukan serta tarian suku kaum di Ladakh, masing-masing dengan adat serta ciri-ciri yang tersendiri.

Bagi makluman, ucapan Julley (atau Joolay) ialah perkataan umum dalam Ladakh. Julley (जुले) bukan sekadar perkataan, ia adalah perkataan ajaib yang merupakan sebuah ayat lengkap atau cerita. Kadang-kadang ia lebih daripada satu ayat. Julley adalah perkataan yang memukau dan memudahkan kerja anda dilakukan di mana sahaja di Ladakh. Ia memberikan rasa hormat, membantu anda mencari jalan, memberi makanan yang lazat, membawa lebih dekat kepada orang tempatan, membuat kawan Ladakhi baru, membantu anda dan banyak lagi.

Hari-3, 22 Okt 2023 : Leh ke Hanle, Umling La Base (257km)
Semua grup bertolak dari Villa ke tempat penginapan di Hanle. Antara yang terlibat ialah grup dari Indonesia JDDC yang disertai seramai 8 orang dan dua grup dari Malaysia iaitu NVOG yang terdiri dari 9 orang. Manakala grup dari Kelantan ELS Malaysia terdiri dari 13 orang. Kesemuanya bergerak secara berasingan. Setiap grup dilengkapi dengan kereta bantuan, penunggang bantuan serta seorang Leader (Lead Marshall). Selepas bersarapan jam 9 pagi, grup dari Indonesia berlepas terlebih dahulu diikuti grup NVOG pada jam 9.30 pagi. Manakala grup ELS Malaysia bergerak pada pukul 10 pagi.

Grup NVOG singgah mengisi minyak selepas keluar dari Leh dan meneruskan perjalanan menuju ke Hanle melalui pekan Chumathang, Mahe dan Nyoma sebelum tiba di Hanle Villa untuk bermalam di sana. Sepanjang perjalanan, kami singgah serta bergambar di beberapa kawasan yang menarik dan view point yang sangat cantik. Pemandangannya sungguh indah dan memukau dengan sungai, bukit bukau serta gunung ganang yang sudah bersalji.

Alhamdullilah, kami semua singgah bersolat di sebatang sungai. Kami bersyukur kerana diberi keizinan untuk sampai di sini dan dipermudahkan segala urusan menjejakkan kaki serta mensyukuri nikmat Allah Yang Maha Esa. Kami meneruskan perjalanan ke Villa yang terletak di Hanle, suatu perkampungan kecil yang terletak di Umling La Base. Kami dijamu dengan makanan yang sangat enak dan lazat oleh tuan punya villa iaitu nasi goreng sayur dan gulai telur.

Hari-4, 23 Okt : Hanie – Umling La – Nyoma (185km – 35% jalan lasak offroad)
Cuaca sangat sejuk di Hanie, air paip membeku dan pekerja villa membantu kami memgambil air dari saluran solar di mana proses menghangatkan air berlaku amat pantas menggunakan sistem yang dicipta khas. Selepas sarapan, kami bersiap sedia untuk misi sebenar iaitu ke Umling La Pass. Kami terpaksa mengharungi jalan lasak atau offroad sejauh lebih 50km, melalui Hanle Nurbu La Track untuk sampai ke Chisumle Bridge (Gateway to Umling La) yang berbukit.

Jalan tanah pasir seperti padang pasir Sahara sejauh mata memandang dan kami terpaksa mendaki bukit yang agak tinggi serta sangat mencabar dengan suhu juga tekanan tinggi menyukarkan pernafasan para peserta. Namun, kami tetap sampai ke destinasi Umling La Pass “The Highest Motorable Road in the world at 19024 feet or 5798 meter”. Syukur Alhamdullilah, semua ahli NVOG selamat tiba dan sekali lagi perjalanan kami dipermudahkan segala urusan untuk sampai di sini.

Sesi bergambar sebagai tanda kenang-kenangan dan gambar grup tanda hadir membuatkan kami terlupa tentang segala risiko serta cabaran yang menghantui sebelum ini. Berbekalkan semangat setia kawan dan ‘Team Work Spirit’ tiada yang mustahil dengan izin-Nya. Kami turun dari Umling La dan singgah untuk berehat seketika di Chisumle Bridge untuk minum dan merehatkan badan sebelum berangkat ke Villa di Nyoma.

Kami singgah sekali lagi ke Hanle Nurbu La Track untuk ke Villa bagi makan tengah hari sekali gus untuk bersolat. Semasa perjalanan ke Nyoma, salah satu jentera peserta NVOG iaitu saudara Fazrul mengalami masalah tayar belakang yang terkena paku. Kami semua memberi bantuan dan meneruskan perjalanan dan tiba pada jam 7 malam di villa masing-masing dengan selamatnya.

Hari-5, 24 Okt 2023 : Nyoma – Kaksang La – Chushul – Merak (140km – 10% Offroad)
Bersarapan di villa masing-masing, sebelum memulakan perjalanan grup telah disusun semula. Setiap motosikal diperiksa dan minyak diisi kerana tiada lagi stesen minyak sepanjang perjalanan semalam. Berbekalkan minyak dibawa para petugas yang memastikan bekalan minyak serta tangki gas oksigen sentiasa mencukupi dalam misi kali ini. Persiapan lebih rapi diambil pihak ejen di sini memandangkan bilangan 3 grup agak ramai. Tidak dinafikan, ejen di sini memang terbaik.

Kami mula bergerak ke Higher Pass seterusnya iaitu ke Kaksang La Pass (5436 meter) dari aras laut. Semua jalan ke sini agak mencabar kerana berbukit dan jalan batu yang agak sempit serta terpencil. Kami tiba di Kaksang La dengan keadaan berkabus sekali gus menyukarkan jarak penglihatan. Perjalanan diteruskan menuju ke Chushul untuk makan tengah hari. Selepas itu, kami meneruskan perjalanan ke Merak iaitu destinasi terakhir untuk hari ini. Kami melalui kawasan gunung bersalji di sebelah kiri, manakala di sebelah kanan pula adalah Pangong Lake yang menghiasi filem 3 Idiots.


Suhu di Merak sangat sejuk dan hanya terdapat tidak lebih 25 buah keluarga tinggal di sekitar tasik. Liputan telefon dan internet juga terhad. Kami tiba di villa Merak tepat jam 6 petang sebelum matahari terbenam. Sebelah malamnya, kami dijamu dengan hidangan yang dimasak sendiri oleh tuan punya villa. Kami semua mengambil keputusan untuk tidur di ruang makan yang ada cimni memandangkan suhu di sebelah malam di bawah -12 darjah celsius paras beku.

Hari-6, 25 Okt 2023 : Merak – Nubra Valley (Diskit) menerusi Shyok River (180km – 20% Offroad)
Selepas sarapan pada jam 9 pagi, kami bersiap sedia untuk menyusuri Panggong Lake menuju ke persisiran Shyok River untuk ke Nubra Valley. Kami sempat singgah di beberapa lokasi atau view point yang menjadi tumpuan pelancong sekitar Panggong Lake khususnya lokasi penggambaran filem Aamir Khan “3 Idiots” yang menaikkan nama Merak – Panggong Lake sebagai destinasi utama di India sehingga sekarang.

Selepas bergambar, kami memulakan perjalanan secara santai untuk ke Nubra Valley. Kami terpaksa menempuh lencongan sejauh 40km jalan Offroad atau bypass road yang sungguh mencabar untuk tiba ke destinasi. Pada jam 6 petang, kami tiba di villa penginapan Nubra Valley dengan pengalaman menunggang motosikal di jalan yang sungguh mencabar sepanjang 5 hari berada di sini. Masing-masing sangat keletihan tetapi masih boleh mengukir senyuman, rasa puas dan gembira dengan pengalaman yang kami dapat sepanjang ride Himalaya ini pasti terpahat selamanya dalam hati semua peserta.

Hari-7, 26 Okt 2023 : Nubra – Turtuk – Nubra (180km – 20% Offroad)
Kami meninggalkan pekan Nubra pada pukul 9 pagi menuju ke Turtuk, destinasi paling hujung bersebelahan dengan India – Pakistan. Pekan Turtuk dahulu merupakan daerah di bawah Pakistan tetapi kini diambil kembali India akibat kekalahan Pakistan pada masa lalu. Daerah Turtuk masih lagi mengekalkan tradisi dan budaya Pakistan, Islam masih lagi menjadi tunggak dan dianuti. Sapaan “Assalamualaikum” masih disebut bila-bila bertemu.

Walaupun perjalanan ke sini agak mencabar dengan sedikit offroad tetapi pemandangannya sungguh menakjubkan. Kesempatan ini kami ambil dengan menikmati setiap jalan dan tempat yang mempunyai keunikan tersendiri. Pekan Turtuk ini terletak di Banjaran Karakoram yang merupakan laluan sutera suatu masa dahulu. Ia juga merupakan titik pertemuan dua banjaran iaitu Himalaya dan Karakoram yang menyambungkan 3 negara China, Pakistan dan India.

Kami singgah untuk makan pagi di base askar Shyok Valley dan tengah hari di pekan Turtuk serta beramah mesra dengan penduduk tempatan. Kelihatan banyak Café Bukit yang baru dibuka dan akan dibuka memandangkan tempatnya yang nyaman serta pemandangan yang sungguh cantik untuk menarik tumpuan pelancong. Selepas menjamu selera, kami mencari masjid yang ada di situ untuk solat sebelum neneruskan perjalanan pulang ke Nubra Valley semula.

Hari-8, 27 Okt 2023 : Nubra Valley – Khardung La – Leh (115km – 10% Damage Road)
Pagi di Nubra Valley sungguh nyaman dan hari ini merupakan hari terakhir untuk balik ke Leh melalui Khardung La Pass (5369 meter) dari aras laut. Laluan ke Khardung La Pass bersalji, kami mengambil keputusan untuk tunggu lewat sedikit sebelum bergerak dan bersiar-siar sekitar Nubra Valley. Destinasi yang menarik, kami singgah di ladang unta yang menempatkan unta khas yang tidak terdapat di tempat lain di India.

Unta dua bonggol besar di bahagian belakang dipanggil sebagai unta Bactrian. Berbeza dengan unta bonggol tunggal yang terdapat di Rajasthan. Sebenarnya, unta ini berasal dari negara-negara Asia Tengah seperti China, Mongolia, Afghanistan Turkmenistan, Uzbekistan, Kazakhstan dan lain-lain. Unta Bactrian boleh hidup dalam julat suhu melampau antara -30 ° C hingga + 30 ° C. Ia boleh membawa bebanan berat dan bekerja tanpa henti selama berjam-jam. Oleh kerana ciri-ciri ini, para peniaga laluan sutera bersejarah menggunakan unta ini untuk membawa barangan mereka termasuk pakaian, rempah, buah-buahan dan lain-lain. Apabila laluan sutera ditutup pada tahun 1950, beberapa unta ditinggalkan di lembah Nubra. Kesempatan ini kami ambil untuk menunggang dan bergambar bersama unta-unta ini.

Selepas cuaca agak tinggi, dijangka suhu di Kardung La Pass sekitar -5° C dan jalan yang berliputi salji telah kurang tebalnya selepas dilanyak kenderaan lalu-lalang terutamanya lori atau kenderaan tentera. Kami meneruskan perjalanan ke Khardung La Pass dengan perasaan berbaur kerana Khardung La terletak 39 km melalui jalan raya dari Leh. Di mana 24 km pertama, sejauh titik pemeriksaan Pullu Selatan telah diturap. Dari sana ke pusat pemeriksaan Pullu Utara, kira-kira 15 km di luar laluan jalan raya terutamanya batu longgar, kotoran dan salji sekali-sekala cair. Sekarang, sepanjang jalan diturap dengan betul. Jalan yang menghampiri Lembah Nubra dijaga dengan elok.

Kami singgah di Café Pullu untuk berehat seketika sebelum naik ke Khardung La Pass. Seperti yang dijangka, jalannya masih ditutupi salji “Black Ice” menyebabkan motsikal kami tunggang sukar dikawal. Ada beberapa rider NVOG terjatuh sebab jalan amat licin. Kami semua selamat tiba di Khardung La Pass dan bersyukur kerana sampai ke destinasi terakhir dengan jayanya. Selepas bergambar kenang-kenangan, kami mula bergerak turun menuju ke Leh bagi menamatkan misi Himalaya kali ini. Namun, laluan kami dihalang kerana kerja-kerja pengalihan batu-batu yang runtuh. Kami terpaksa menunggu lebih sejam bersama kenderaan lain sehingga siap dan tiba di Leh tepat jam 5 petang.

Pada sebelah malamnya, pihak Himalaya Offroad Explorer, Tuan Shahidan Puad mengadakan majlis jamuan makan malam serta sesi penyerahan sijil – Ride The Himalaya Certificate yang disampaikan oleh Tour Leader Mr. Tsewang Sample kepada semua peserta. Ia sebagai tanda berjaya menakluki jalan bermotor tertinggi di dunia Umling La dengan ketinggian 5798 meter pada Oktober 2023. Sesi bergambar dan beramah mesra bersama ketiga-tiga kumpulan yang hadir diakhiri dengan persembahan petikan gitar oleh busker yang dijemput.

Hari-9, 28 Okt 2023; Leh – New Delhi – Agra (Taj Mahal)
Kami meninggalkan Airport Leh dengan perasan sayu dimana beribu-ribu kenangan ride bersama kru ejen Himalaya Offroad Explorer serta rakan-rakan dari Indonesia dan Malaysia selama 8 hari di sini. Sudah semestinya menjadi memori yang indah buat semua. Kami berangkat dari Leh Airport seawal 11 pagi dan tiba di New Delhi Airport pada pukul 12 tengah hari sekaligus bergerak ke Agra untuk lawatan ke Taj Mahal pada esok harinya.

Hari-10, 29 Okt 2023; Agra (Taj Mahal) – New Delhi – Malaysia
Hari terakhir kami di Agra melawat Taj Mahal, sungguh menakjubkan dengan orang ramai bersesak-sesak. Dianggarkan lebih 20 ribu orang datang melawat salah satu mercu keajaiban dunia ini. Kami berjaya menghabiskan masa di Agra – Taj Mahal sebelum berangkat ke New Delhi untuk bersiap pulang ke tanah air pada pukul 10 malam nanti.

Secara ringkasnya, misi Autum Ride kali ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah yang tidak diingini serta kesemua peserta dari NVOG & Friends telah menunjukkan semangat setia kawan yang tinggi sepanjang 10 hari bersama. Kami berjaya dalam misi yang diimpikan iaitu 3 jalan bermotor tertinggi di dunia iaitu Umling La Pass dengan ketinggian 5798 meter dan Kaksang La Pass 5436 meter serta Khardung La Pass 5369 meter dengan menghadapi sebarang masalah atau kecelakaan dan itu yang penting.

Road To Umling-La Himalaya Adventure Ride Oct 2023
(GB13 NVOG & FRIENDS)

Perkongsian oleh;
Fazrul