Kembara Aripin, misi menakluk dunia!

Kembara Aripin, misi menakluk dunia!

Era 90-an merupakan dekad di mana jurutera mula mencipta jentera 2 roda untuk perjalanan jauh. Profil penunggang tidak lagi sekadar menjelajah negeri malah, ia mula merentasi benua. Perjalanan puluhan ribu kilometer mula menghasilkan motosikal berkuasa tinggi motard atau Dual Purpose seperti Honda Africa Twin, Yamaha Super Tenere dan Suzuki Dr Big. Nama-nama ini kebanyakannya lahir dari sukan Paris-Dakar yang cukup terkenal. Perlumbaan rentas benua paling mencabar dan dianggap paling berbahaya di muka bumi.

Idea-idea begini mencetus minat ramai penggemar motosikal untuk melakukan perjalanan jauh. Maksud saya benar-benar jauh. Bukan hanya sekadar KL-Phuket tapi merentasi benua Asia. Pada tahun 1995, BMW menghasilkan versi GS yang serius dan inilah detik di mana perjalanan motosikal dunia berubah sama sekali. Jika anda gemar menonton dokumentari berkisar tentang perjalanan atau konvoi, BMW GS pasti dalam senarai motosikal teratas.

Idea yang ditonton di televisyen dan dibaca di majalah memberi ilham kepada Mohd Ariffin B Idris untuk melakukan perjalanan yang mustahil. Secara spontan ketika berbual dengan teman di kedai mamak, mereka bersetuju secara dasarnya untuk menunggang dari kota London ke Putrajaya. Dari cakap-cakap kosong, ia bergerak kepada kertas kerja, mencari penaja dan akhirnya konvoi berjaya dilaksanakan pada tahun 2005.

Perjalanan sejauh 25 ribu kilometer itu bukanlah satu perkara yang mudah. Pelbagai cabaran dan rintangan dihadapi oleh Ariffin bersama teman-temannya dalam merealisasikan impiannya yang turut membawa nama Malaysia. Pada umur mencecah 50-an, bukanlah faktor fizikal sahaja yang jadi sandaran, ia sama seriusnya dengan menahan aspek mental ke arah mencapai misi sulung yang belum pernah dilakukan manusia setakat ini.

Ketika memiliki motosikal DP yang pertama Yamaha Super Tenere 750cc, semangat beliau memuncak apatah lagi berbekalkan pengalaman ride sekitar Asia yang nyata belum memberi kepuasan muktamad pada beliau. Mencari penaja untuk misi sulung ini kelihatan sangat sukar kerana tidak ramai yang yakin dengan kertas kerja yang dibawa. Belum ada rakyat Malaysia yang pernah melakukannya.

Persiapan bermula dengan konvoi sekitar semenanjung dan Borneo. Bukan itu sahaja, beliau turut mendapat pengalaman berharga melakukan ride selama 18 hari dengan perjalanan 5 ribu kilometer dari Medan merentasi Jakarta ke kepulauan peranginan Bali di Indonesia. Dengan mukabumi berbeza, ia memberi pengalaman penting untuk dibawa bersama ketika merentasi lembah dan padang gurun gersang nanti.

Perjalanan dari Kota London itu merentasi negara seperti Belanda – Jerman – Poland – Belarus – Moscow – Kazakhstan – China – Laos dan Thailand sebelum memasuki negara pada penghujung bulan ke 3. Di negara orang, banyak pengalaman dan kenangan yang dikutip menjadikan beliau insan bertuah dapat melihat hampir semua jenis muka bumi ciptaan tuhan. Perjalanan tadi bukanlah yang pertama bagi beliau. Dengan laluan yang dipilih tadi, beliau nekad menyusun perancangan untuk melawan arus dari KL ke London pula.

Pada tahun 2013, perjalanan tersebut menjadi realiti dengan disertai 5 orang penunggang lain. Kali ini laluan yang dipilih lebih mencabar. Bukan itu sahaja, faktor pemilihan tarikh perjalanan juga membolehkan mereka menikmati suasana payahnya menunggang di musim salji, merentas gurun gersang yang panas dan menikmati pemandangan indah negara-negara bekas jajahan Soviet yang terkenal itu.

Belajar dari pengalaman pertamanya menunggang Super Tenere yang belum cukup lasak, beliau mengumpul dana dengan membeli motosikal overlander sebenar. BMW 800GS ini mungkin tidak sehebat R1200GS, tetapi lebih dari mencukupi untuk tunggangan yang lebih meyakinkan. Dengan kemudahan mendapat alat ganti hampir di mana sahaja, GS memang terkenal dengan kelasakannya dalam apa juga bentuk mukabumi dan cuaca.

Walaupun begitu, beberapa pengubahsuaian terpaksa dilakukan untuk membolehkannnya layak untuk perjalanan ini. Tangki petrol tambahan (yang merupakan aksesori OEM) ditambah untuk kapasiti 16 liter lagi. Ia cukup untuk perjalanan satu arah sejauh 700km lebih bersama dengan kapasiti tangki asal. Beberapa aksesori tambahan dipasangkan seperti bar pengempar enjin, suspensi hadapan yang diubahsuai, set tayar yang pelbagai serta belajar sendiri penyelenggaraan asas motosikal tersebut. Tidak sampai setahun dimiliki, perjalanan pun bermula dengan disertai 5 buah motosikal BMW 800GS dan sebuah kenderaan pacuan 4 roda.

Perjalanan meliputi laluan berliku berjumlah hampir 32 ribu kilometer. Kali ini, mereka memilih laluan Thailand ke Laos – Rusia – Kazakhstan – Tarjikistan – Krygistan – Uzbekistan – Turkmenistan – Iran – Turki – Romania – Bulgaria – Hungary – Austria – Itali – Switzerland – Jerman – Perancis dan berakhir di kota London, England. Disebabkan laluan yang sangat mencabar ini juga, perjalanan yang sepatutnya mengambil masa 3 bulan telah berlanjutan selama 6 bulan. Jadual terpaksa diatur semula kerana banyak rintangan yang tak diduga.

Tiada apa yang dapat dijangka bila menunggang di gurun gersang Mongolia dan juga muka bumi berbatu batan di gurun Asia Tengah. Semuanya diharungi dengan penuh kepayahan. Pengalaman yang dikutip juga cukup mengajar beliau betapa misinya kali ini lebih sukar dari yang dijangka. Dari cerita yang dikongsi, saya percaya beliau cukup bertuah kerana berjaya menghabiskan misi ini. Perit jerih demi minat ini bukan hanya dapat dihitung dengan wang ringgit. Ia adalah pengalaman sekali seuumur hidup yang hanya dinikmati oleh mereka yang terpilih sahaja.

Mengakhiri perbualan kami pagi itu ialah impian terakhir beliau untuk menunggang di benua Amerika pula. Lebuhraya Route 66 merupakan impian setiap orang untuk menunggang di sana. Melihat dari cara beliau, saya percaya beliau akan berjaya mencapainya. Cuma masa yang akan menentukan.