Perkarangan Lotus Manjung menjadi tumpuan, hujung minggu tidak lagi membosankan dengan perhimpunan motor-motor retro Yamaha pada 27 November lalu. Pelbagai warna, pelbagai gaya dengan dihiasi aneka ragam, Lotus Manjung sekali gus bertukar wajah!
Dianggarkan lebih 300 buah motosikal telah menyemarakkan lagi penganjuran Legasi Yamaha Cub Retro ini yang dimulakan seawal 9.00 pagi dan berlanjutan sehingga pukul 5.00 petang. Lebih membanggakan lagi, ada yang datang dari jauh seperti Johor Bahru dan Terengganu demi untuk memberi sokongan dan memeriahkan lagi penganjuran program ini.
Walaupun diadakan buat pertama kalinya, pihak penganjur serta penyelaras program berjaya memastikan ia berjalan dengan lancar. Tahniah diucapkan kepada yang terlibat termasuk para penaja seperti Koyoko, Kenda serta majalah Roadstar sebagai media rasmi. Semoga program ini akan diadakan buat kali yang kedua pada tahun 2023 dan tahun-tahun berikutnya demi merancakkan dunia permotoran dua roda serta memartabatkan Legasi Yamaha Cub Retro!