Kembali Dengan Pelbagai Naiktaraf Baharu, Tampil Sasa Bersama Fairing Lebih Besar

Diberi nafas baharu dengan pelbagai kemas kini luaran dan teknikal, jentera naked popular KTM 790 Duke 2027 kini kembali untuk menggegarkan pasaran. Melalui model terbaharu ini, KTM memberikan fokus utama kepada peningkatan aspek kawalan penunggang serta kemasan estetika yang lebih agresif. Sentuhan reka bentuk terbaharu ini sekali gus meletakkan profil gaya 790 Duke selari dengan model-model terdahulu yang lebih besar iaitu 990 Duke dan 1390 Super Duke R.

Perubahan paling signifikan pada jentera ini boleh dilihat pada bahagian rider triangle yang merangkumi posisi bar pemegang (handlebar), pelana dan footpegs. Bar pemegang kini direka dengan sudut yang lebih terbuka, manakala kedudukan footpegs penunggang serta pembonceng telah diubah suai bagi menawarkan posisi tunggangan yang lebih semula jadi dan menyatu dengan jentera. Hasilnya, penunggang akan mendapat kawalan yang lebih mantap serta maklum balas casis dan roda hadapan yang lebih jitu.

Sumbangan kepada ergonomik yang lebih cemerlang ini turut dibantu oleh reka bentuk tangki bahan api baharu, sub-frame terbaharu, serta unit triple clamps yang telah disemak semula. Menariknya, KTM berjaya mengurangkan berat jentera sebanyak 2 kg lagi, yang secara langsung meningkatkan tahap kelincahan pengendaliannya. Dari segi kosmetik, model 2027 ini tampil memikat dengan rekaan lampu hadapan serba baharu, kerja badan (bodywork) yang lebih kemas, serta madgad (fairing) hadapan yang bersaiz lebih besar.

Satu lagi pembaharuan penting pada KTM 790 Duke 2027 ini adalah pengenalan sistem brek hadapan jenis radial-mount daripada WP yang dibangunkan sendiri secara dalaman (in-house). KTM menjelaskan bahawa sistem brek ini mampu memberikan kuasa hentian yang lebih padu dengan usaha tekanan tuas yang minimum. Fokus kejuruteraan brek ini adalah untuk memberikan tindak balas yang lancar dan linear tanpa kesan sentapan awal yang kasar (harsh initial bite), sekali gus memberikan kawalan membrek yang lebih meyakinkan.

Sistem suspensi jenama WP turut ditala semula bagi memaksimumkan kualiti pengendalian. Di bahagian hadapan, ia dilengkapi dengan fork jenis terbalik (upside-down) WP Apex berdiameter 43 mm dengan jarak pergerakan 150 mm, yang boleh dilaraskan untuk fungsi rebound dan compression. Sementara itu, tugasan ampaian belakang digalas oleh unit monoshock WP Apex dengan jarak pergerakan 170 mm yang boleh dilaraskan untuk tetapan rebound serta pra-bebanan (preload).

Menjengah ke ruang kuasa, KTM mengekalkan spesifikasi enjin sedia ada tanpa sebarang perubahan. “The Scalpel” ini kekal dikuasakan oleh enjin parallel-twin DOHC 8-injap bersesaran 799 cc yang menghamburkan kuasa maksimum 105 hp pada 9,000 rpm dan tork sekuat 87 Nm pada 8,000 rpm (manakala versi lesen A2 menghasilkan 95 hp). Kuasa ini dihantar ke roda belakang menerusi kotak gear 6-kelajuan yang dilengkapi dengan Power Assist Slipper Clutch (PASC) serta sistem quickshifter (atas/bawah) yang terbina dalam untuk pertukaran gear yang lancar dan pantas.