Kelantan International Bike Week 2019 Volume 8

Perkarangan stadium Sultan Muhammad IV yang berlokasi di Kota Bahru menjadi tumpuan bikers yang bukan sahaja datang dari Malaysia malah antarabangsa ini demi menyemarakkan penganjuran Kelantan International Bike Week 2019. Dianjurkan setiap 2 tahun sekali, Kelantan International Bike Week yang memasuki penganjuran kali ke-8 ini diadakan selama 3 hari berturut-turut bermula dari 27 Jun hingga 29 Jun yang lalu.

Penganjuran KIBW 2019 ini sekali lagi dipertanggungjawabkan dan diamanahkan kepada Darul Naim Bikers Club buat kali kedua di bawah naungan Pengerusi Majlis iaitu En. Azimi Bin Mohd Fauzi yang lebih dikenali di kalangan bikers dengan gelaran Bro G-Mie. Beliau turut dibantu oleh Presiden Darul Naim Bikers Club, En. Azman Bin Awang dan Timbalan Presiden, En. Mohd Riduan Bin Ismail bersama sokongan krew-krew KIBW2019.

Dianggarkan lebih kurang 30,000 pengunjung dan bikers hadir ke majlis KIBW2019 ini. Kebanyakan bikers yang ditemui krew RoadStar Magazine datang dari negeri Johor, Kedah, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Terengganu, Pahang dan Kelantan. Tidak ketinggalan juga penyertaan bikers dari luar negara tanpa mengira motosikal kecil mahupun besar. Ada juga bikers yang berkampung selama 3 hingga 4 hari di KIBW 2019 ini untuk merasai kehangatan acara yang dipadatkan dengan pelbagai aktiviti menarik.

Antara aktiviti yang disediakan termasuk TTs Mega Bikers, bual bicara bersama “Geng G Mekah Ngan Muto”, Autoshow, Stunt Show, acara pentas, cabutan bertuah untuk pengunjung bertuah yang menawarkan hadiah berupa 3 buah motosikal dan 1 motosikal berkuasa besar. Selain itu, turut diadakan adalah pameran dari agensi kerajaan, badan berkanun, makan malam bikers bersama artis jemputan dan pelbagai gerai jualan aksesori dari para peniaga seluruh Malaysia.

Berbeza dengan penganjuran terdahulu, pihak penganjur telah menyediakan aktiviti yang agak luar biasa untuk KIBW 2019 kali ini. Bukan sahaja di Malaysia, aktiviti seperti ini jarang sekali dilihat di mana-mana penganjuran Bike Week di luar negara. Aktiviti dimaksudkan adalah pertunjukkan dan persembahan helikopter oleh Kapten Amrul Anuar dari Afjets dengan kerjasama KIBW 2019. Berlangsung di perkarangan stadium Sultan Muhammad IV, aktiviti ini dianjurkan dengan kawalan keselamatan terbaik dan terjamin. Sebuah lagi helikopter digunakan untuk membawa beberapa pengunjung yang berpeluang melihat sekitar Bandar Kota Bahru dan tapak KIBW2019 dari atas selama 10 minit setiap penerbangan.

Peluang ini turut tidak dilepaskan oleh krew RoadStar menaiki helikopter buat pertama kali dan melihat sekitar tapak KIBW2019 yang berlangsung cukup meriah dari pandangan di atas. Terima kasih kepada penaung dan juga pengerusi, Bro G-Mie yang memberi peluang kepada krew RoadStar Magazine untuk menaiki helikopter diikuti layanan terbaik dari pihak KIBW2019. Kalau ada jodoh di lain tahun, kita akan berjumpa lagi. Insya-allah. All The best KIBW2019!

Gambar dan teks : Paksu Shidee