Kejuaraan Superbike Malaysia – Pusingan 2

Pelumba pasukan ONEXOX TKKR SAG Team, Nazirul Izzat Mohd. Bahauddin mengulangi pencapaian pada pusingan 1 Jun lalu apabila muncul sebagai juara kelas MSBK250 Perlumbaan 1 dan 2 pada pusingan 2 kejuaraan Superbike Malaysia 2019 yang diadakan pada Julai lalu di Litar Antarabangsa Sepang. Menguasai perlumbaan dan berjaya mengekalkan jarak yang jauh di hadapan sehingga garisan penamat, Izzat menamatkan perlumbaan dengan catatan masa terpantas 20:16.752s.

Manakala di tempat kedua yang ketinggalan 5.891s di belakang, Mohd. Aiman Tahiruddin yang menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 20:22.643s. Diikuti pelumba yang menduduki tempat ketiga, Abdullah Qayyum Abd, Razak dengan catatan masa 20:32.455s. Bagi kategori B Perlumbaan 2 pula dimenangi pelumba Team ONE For All, Azizul Khairi Muhammad dengan masa 21:15.571s. Bagi kelas MSBK600 pula menyaksikan penampilan pertama Mohd. Adam Mohd. Norrodin musim ini dan berjaya menguasai perlumbaan. Beliau mengungguli Perlumbaan 2 dengan catatan masa 22:06.685s dan Perlumbaan 3 yang menamatkan saingan dengan catatan masa 21:59.585s.