Kejohanan Grand Prix Motosikal Dunia; Hafizh Syahrin Harap Lepas Sekatan

Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah berharap sekatan kemasukan pelancong dikenakan Kesatuan Eropah tidak menjadi penghalang buat beliau menyertai Kejohanan Grand Prix Motosikal Dunia yang akan bersambung di Litar Jerez, Sepanyol pada 19 Julai ini.

Hafizh Syahrin berkata beliau kini menunggu kebenaran untuk berlepas ke Sepanyol selepas menyerahkan beberapa butiran diperlukan pasukannya, Angel Nieto untuk diserahkan kepada Dorna Sports selaku pemegang hak eksklusif komersial dan televisyen kejohanan itu.

“Saya harap sesuatu yang baik dari Eropah supaya kami boleh terbang ke Sepanyol untuk meneruskan kejuaraan. Kalau kami (pelumba negara) tidak dapat terbang dan kejuaraan berjalan seperti biasa, kami pasti agak terkilan,” kata bekas pelumba Kelas Perdana MotoGP selama dua musim itu.

Kejohanan motosikal itu ditangguhkan sejak Mac lepas, selepas perlumbaan di Qatar akibat penularan wabak COVID-19. Pelumba Moto3 negara Khairul Idham Pawi gagal berlepas ke Sepanyol susulan sekatan itu yang menyaksikan Kesatuan Eropah hanya membenarkan pelancong dari 15 buah negara memasuki Eropah, dan Malaysia tidak tersenarai. -Bernama.

Sumber : Mekanika
Website : https://www.mekanika.com.my/
Facebook : https://www.facebook.com/MekanikaMalaysia/
Instagram : https://www.instagram.com/mekanika.malaysia/?hl=en
Youtube : https://www.youtube.com/channel/UCW_a5QtfMwZ5gNBhgXBdscQ