Kedai Kopi Khita, Jadi Pilihan!

Yamaha Sport Northern Community atau lebih dikenali dengan nama singkatannya YSNC, merupakan sebuah kelab motosikal yang menghimpunkan para pemilik motosikal Yamaha Y100 (Yamaha Sport). Kelab ini ditubuhkan pada tahun 2018, dianggotai seramai 20 ahli yang datang dari sekitar Kulim dan juga Pulau Pinang.

Sebagaimana kelab-kelab permotoran dua roda yang lain, YSNC juga sangat aktif melakukan pelbagai aktiviti khususnya berkonvoi. Pelbagai lokasi dalam negara telah mereka jelajahi termasuklah Cameron Highlands, Kuala Lumpur, Ban Pecah, Gunung Jerai, Teluk Intan yang terkenal dengan bangunan bersejarah iaitu menara condong dan juga ke negeri Pantai Timur di Kelantan. Malah, kelab ini juga pernah menyemarakkan penganjuran program permotoran lain seperti Retro Street Motorshow.

Baru-baru ini, seramai tujuh orang ahlinya telah berkonvoi dan mengunjungi Kedai Kopi Khinta yang sedang tular (viral) yang terletak di Kepala Batas. Jika berkesempatan datang ke sini, anda juga pasti bersetuju ia layak ditularkan kerana keunikan suasana retro yang mengimbas kembali memori zaman awal 80-90 an dahulu.

Bagi makluman, segala urusan dan aktiviti kelab YSNC ini adalah di bawah kelolaan pengerusi iaitu saudara Abdul Latif Bin Abdullah yang lebih mesra dipanggil Latif Besi Tua. Beliau dibantu oleh saudara Abdul Razak Buhari yang terkenal dalam kalangan golongan pencinta motor klasik sebagai Jaq Kapcai untuk merencanakan aktiviti-aktiviti kelab. Manakala rakaman kenangan yang menarik ini adalah hasil tangkapan saudara Ahmad Salihin Basari selaku jurukamera kelab.