Kawasaki Z900RS

Kategori retro terkini dan merupakan satu entri yang sekian lama ditunggu-tunggu oleh peminat Kawasaki. Model yang disifatkan sebagai satu penghormatan kepada model legenda Z1. Pilihan enjin yang tepat menjadikan motosikal Z 900RS cukup unik dalam barisan siri model Z. Model terkini ini adalah sintesis tradisional dan moden.

Ini adalah motosikal pertama Kawasaki retro semenjak model klasik W800 dihentikan pengeluarannya pada tahun 2016. Satu enjin dengan konfigurasi In-Line Four yang disokong oleh teknologi sokongan pengendali terbaru Kawasaki. Reka bentuk enjin dan rangka kedua mendapat manfaat daripada teknologi analisis terkini dan unsur-unsur gaya yang direka dengan teliti dilengkapi dengan ciri berteknologi. Demi mencapai rupa Z900RS agar kelihaan menarik serta memukau kepada sesiapa sahaja yang melihatnya, setiap komponen dipilih dengan teliti serta penetapannya dipertimbangkan serapi yang mungkin demi kepuasan pengguna.

Penggayaan
Model bergaya moden klasik ini mempunyai gaya tersendiri. Tangki minyak yang direka semula ini mengingatkan kita kepada model Z1 pada zaman 70-an. Bingkai telah direka semula bagi menampung kedudukan tangki yang panjang serta mampu menampung 17 liter minyak. Pelana atau tempat duduk Z 900RS bersifat tandem, ianya memanjang ke belakang bagi mengimbangi model berkategori Sport Retro dengan berat motosikal 214kg.

Enjin adalah elemen gaya yang penting. Reka bentuk enjin cukup mudah dan rapi bagi menampakkan kelainan pada model ini. Dapat dilihat reka bentuk penutup enjin, mengimbas kembali model “Naked” tradisional yang pernah dikeluarkan oleh Kawasaki. Z900RS masih mengekalkan sistem 4 strok, In Line Four dan penyejukkan cecair (Water Cool). DOHC dan 16 Valve serta Fuel Injection serta dibekalkan dengan Traction control 2 mod juga Assist dan slipper clutch.

Ekzos
Semasa pembentukan sistem ekzos, lebih dari 20 variasi dipertimbangkan sebelum keputusan terakhir dibuat. Paip header, pra-ruang dan silencer semuanya terbentuk dari keluli tahan karat berkualiti tinggi dengan sedikit pengubahsuaian sudah memadai bagi menghasilkan bunyi yang digemari penunggang motosikal.

Pengendalian
Hasil ujian yang saya lakukan kepada model ini cukup fantasik. Ujian dilakukan pada waktu malam, hujan lebat dan di lebuh raya. Dapat dirasakan kawalannya mudah dengan keyakinan yang cukup tinggi kerana kawalan atau pengendalian pada model ini telah dikaji semula. Satu pembaharuan telah dilakukan dengan mengubah kedudukan monoshock di belakang, lebih curam atau baring. Sementara fork depan jenis terbalik, 2 Cakera (disk) brek berukuran 300mm di hadapan dan 1 di belakang. Sistem brek juga dibekalkan dengan ABS.

Lampu depan menggunakan LED. Reka bentuk retro dan moden berukuran 170mm besar dengan pancaran cahaya putih. Saya amat berpuashati sewaktu membuat ujian menunggang pada waktu malam. Berbentuk cembung serta diseliputi krom pada keliling lampu depan menampakkan reka bentuk Sport Retro yang berkualiti tinggi. Lampu belakang yang di lindungi ekor belakang seolah-olah ekor itik, mirip model Z1 tahun 70-an.

Kawasaki Z900RS didatangi dengan dua warna pilihan iaitu Matte Black untuk versi Standard dan Orange untuk Special Edition. Harga RM 67,900 bagi Standard dan RM 69,900 bagi special Edition.