Walaupun sudah lama berada di pasaran, jentera keluaran Kawasaki yang menghiasi ruang ini masih lagi panas ekoran keistimewaannya. Lebih istimewa lagi, Roadstar berpeluang bersama salah seorang pemilik jentera Kawasaki Z750 dan berkongsi serba sedikit tentang jentera yang menjadi hero untuk edisi Roadstar kali ini. Dimiliki oleh Ajib atau nama sebenarnya Mohd Razif B. Yahya yang baru sahaja memiliki jentera Kawasaki Z750 ini.
Bagi makluman anda, hingga saat pihak Roadstar bertemu beliau dan menjalankan sesi penggambaran ini, baru 7 hari Kawasaki Z750 berada di tangannya. Bertugas sebagai pengurus di salah sebuah syarikat di Ipoh, hero yang sudah pun berusia 43 tahun ini telah memiliki beberapa buah motor dan Kawasaki Z750 ini adalah motor ke-15 miliknya. Wah, banyak betul bilangannya tu!
Secara jujurnya, agak terkejut juga dan tidak sangka melihat pelbagai motor koleksinya tetapi kenapa beliau memilih Kawasaki Z750 pula?
Bagi seorang penunggang harian, beliau berulang-alik dari Kuala Kangsar ke Ipoh tanpa henti setiap hari, 7 hari seminggu untuk memastikan syarikatnya yang beroperasi 24 jam sehari dikawal selia dengan baik tanpa mengalami sebarang masalah. Penunggangan beliau pula meliputi kawasan lebuh raya dan juga kesesakan bandar yang secara tidak langsung, mendorong lagi minat beliau terhadap model ini dan semakin membuak-buak.
Kuasa dan kelajuan yang dihasilkan oleh Kawasaki Z750 membantu beliau menjimatkan masa dan berulang-alik sejauh 70km sehari tanpa perlu membuang masa yang panjang berada di atas jalan raya. Walaupun tidak dapat mendominasi kelompok penunggang di atas lebuh raya, berbanding model-model motor naked lain ianya sudah cukup memadai buat Ajib. Tambahan pula beliau masih baru dengan model ini dan bersesuaian pula dengan objektif tunggangannya untuk kegunaan harian berulang-alik ke tempat kerja setiap hari.
Sebagaimana yang diketahui umum, reka bentuk Kawasaki Z750 yang berada dalam keluarga ‘naked bike’ ini mudah ditunggang dan dikawal. Lebih-lebih lagi apabila anda berada di kawasan sub-bandar mahupun lebuh raya. Justeru, faktor ini yang membuatkan ia menjadi antara penyebab yang mendorong Ajib membeli Kawasaki Z750 ini. Bak kata beliau sendiri, jentera ini mudah dikendalikan dan senang mencilok jalan.
Tidak banyak modifikasi dilakukan ke atas motor ini kecuali tabung ekzos sahaja yang telah dinaik dan ia sudah cukup membuatkan Ajib berpuas hati. Jika sekali imbas, Kawasaki Z750, Kawasaki Z800, Kawasaki Z1000 kelihatan hampir sama dan hanya ada sedikit perbezaan. Sekiranya ada yang mencari model ini sebagai tunggangan tambahan, harga pasaran pun dah mampu milik. Jika anda menggunakannya sebagai tunggangan harian dan berulang kali, anda memang WIN!
Disediakan oleh : En.Bob