Kawal Suhu Tempat Duduk Inovasi Indian Motorcycles

Cuaca yang tidak menentu ada masanya memberikan masalah kepada para penunggang, khususnya yang memilih motosikal sebagai kenderaan utama untuk berulang dari rumah ke tempat kerja. Sekejap panas terik macam kena panggang hidup-hidup. Sekelip mata pula, hujan lebat membuatkan anda mengigil kesejukan.

Saya percaya, ada penunggang menggunakan pelbagai cara untuk mengatasi masalah ini termasuk memakai baju lebih tebal untuk elak dari kesejukan dan apabila panas pula, tidak pakai sebarang jaket. Pasti bukan itu sahaja cara yang pernah anda lakukan, setuju?

Di atas kesedaran itu, Indian Motorcycle telah menghasilkan tempat duduk istimewa yang boleh dikawal. ClimaCommand Classic ini mungkin perangkat pertama yang menawarkan pilihan tahap suhu sama ada sejuk atau panas yang dipasangkan pada tempat duduk belakang penunggang dan juga di tempat duduk pembonceng. Ianya boleh didapati sebagai aksesori untuk seluruh model ThunderStroke seperti Vintage, Chief Dark Horse, Springfield Dark Horse, Roadmaster Elite, Chieftain Classic dan Chief).

Tempat duduk ClimaCommand ini dihasilkan menggunakan material nano grafena sejuk dan panas oleh modul termoelektrik yang menyebarkan suhu tepat dan sesuai pada keseluruhan tempat duduk ini. Lebih menarik lagi, penunggang dan pembonceng boleh mengawal suhu masing-masing kerana ia dikawal secara terpisah. Anda boleh memilih suhu sejuk atau panas mengikut tahap rendah, sederhana dan juga tinggi.

ClimaCommand Classic ini dijual pada harga US$1,200 atau RM5,129.82.

Sumber : Indian Motorcycle