Kasma Beraksi Cemerlang, Azlan Shah Mendahului MSBK 1000 Dengan 58 Mata!

Sebagaimana yang dijangka, kategori MSBK 1000 untuk pusingan pembukaan Malaysia Superbike Championship musim 2021 menjadi tumpuan utama dan menyaksikan persaingan yang amat sengit. Diadakan di Litar Antarabangsa Sepang, ketiga-tiga pusingan Race 1, Race 2 dan Race 3 telah dimenangi 3 orang pelumba yang berbeza!

Walaupun tampil buat pertama kali dalam MSBK, Kasma Daniel Kasmayudin berjaya memenangi Race 1 dengan penuh bergaya. Cuaca panas terik tidak mampu menghalang kepantasan Kasma. Namun, cuaca yang berubah di mana litar basah akibat hujan seakan menjadi kelebihan buat Mohd Zaqhwan Zaidi yang menggungguli Race 2. Perlumbaan diteruskan dengan Race 3 yang menyaksikan kemaraan Azlan Shah Kamaruzaman dan muncul sebagai juara.

Ketika berlangsungnya pusingan Race 3, bendera terpaksa dikibarkan untuk dua orang pelumba yang agresif di antara pelumba Yama Racing Team ASEAN iaitu Kasma Daniel Kasmayuddin dan juga pelumba MME Racing Team Malaysia, Ahmad Daniel Haiqal. Pada awalnya, kedua-dua pelumba ini mempamerkan aksi yang cukup cemerlang terutamanya Daniel Haiqal yang memberikan persaingan sengit kepada Kasma dan juga Azlan Shah Kamaruzaman.

Namun keadaan berubah apabila Kasma bertindak agresif ketika perlumbaan Race 3, mengheret sama motor BMW ditunggang Haiqal dan terbabas di kawasan berbatu. Kejadian ini menyebabkan Haiqal terpaksa menghentikan perlumbaan dan penyertaan Kasma pula dibatalkan sekaligus memberi peluang kepada Azlan untuk menggungguli perlumbaan.

Bagi kategori MSBK 1000, kedudukan keseluruhan buat setakat ini diungguli oleh Azlan Shah yang mengutip sebanyak 58 mata diikuti Kasma dengan 45 mata.

Sementara itu, kemunculan semula pelumba MotoGP Khairul Idham Pawi ke dunia lumba motor ternyata sangat dinanti-nantikan apatah lagi apabila berjaya berjaya mengungguli podium di Race 1 untuk kategori MSBK 600. Bermula di barisan kedua di belakang Mohd Ibrahim Norrodin, Azroy Hakeem Anuar dan Mohd Helmi Azman, Superkip berjaya menggunakan peluang dan menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 21’59.034s.

Litar yang basah pada Race 2 memberikan peluang untuk Mohd Helmi Azman yang mewakili Honda, Boon Siew Honda Racing Team yang menamatkan pusingan dengan catatan masa. Sepanjang minggu ini juga para penonton dapat melihat ketegangan di antara Azroy Hakeem Anuar dari Boon Siew Honda Racing Team dan Mohd Ibrahim Norrodin yang berlumba untuk pasukan SIC Racing. Kedua-duanya terlibat dalam kemalangan ketika perlumbaan Race 1 dan Race 2. Akhirnya, Azroy dan Ibrahim Norrodin berjaya menamatkan perlumbaan Race 3 dan menaiki podium, masing-masing di tempat pertama dan kedua

Namun begitu, kedudukan keseluruhan untuk MSBK 600 didahului oleh Mohd Syarifuddin Azman (Kawasaki, SIC Racing) dengan 56 mata. Diikuti Mohd Helmi Azman (Honda, Boon Siew Honda Racing Team) dengan 54 mata. Superkip yang mewakili pasukan ONEXOX TKKR Racing Team berjaya mengumpul sebanyak 51 mata.

Seterusnya, kategori MSBK 250 yang diungguli oleh Mohd Izam Ikmal. Pelumba Boon Siew Honda Racing Team ini mencatatkan kemenangan hatrik (tiga kali berturut-turut) dan berjaya mengumpul sebanyak 75 mata. Izam juga berjaya muncul sebagai pelumba paling berjaya sepanjang pusingan pembukaan MSBK berlangsung.

MSBK 1000 A : Kedudukan Keseluruhan
1. Azlan Shah Kamaruzaman (BMW, ONEXOX TKKR Racing Team), 58
2. Kasma Daniel Kasmayudin (Yamaha, Yamaha Racing Team ASEAN), 45
3. Mohd Zaqhwan Zaidi (Honda, Boon Siew Honda Racing Team), 41

MSBK 600 : Kedudukan Keseluruhan
1. Mohd Syarifuddin Azman (Kawasaki, SIC Racing), 56
2. Mohd Helmi Azman (Honda, Boon Siew Honda Racing Team), 54
3. Khairul Idham Pawi (Yamaha, ONEXOX TKKR Racing Team), 51

MSBK 250 : Kedudukan Keseluruhan
1. Mohd Izam Ikmal (Honda, Boon Siew Honda Racing Team), 75
2. Mohd Danial Syahmi A. Shahril (Kawasaki, SIC Racing), 56
3. Mohd Syafieq Aiman Mohd Fauzi (Yamaha, ONEXOX TKKR Racing Team), 46