Karnival Permotoran Rompin 2019

Bermula dari perancangan asal sekadar untuk berkumpul sesama bikers sekitar Rompin dan Pekan, program ini akhirnya menjadi acara permotoran yang melibatkan perhimpunan motosikal dan kereta. Diadakan buat pertama kalinya di daerah Rompin, Karnival Permotoran Rompin 2019 ini dianjurkan oleh Belia Daerah Rompin yang berlangsung pada 17 November lalu.

Dianggarkan seramai hampir 2000 orang pemilik motosikal dan 200 buah kereta telah membanjiri tapak acara yang bertempat di Pantai Hiburan Kuala Rompin. Hadir memeriahkan acara ini adalah YM Tengku Ahmad Ashraf Tengku Dato’ Sri Hj Asmawi yang merupakan Penasihat Karnival Permotoran Rompin 2019. Aktif di dunia permotoran tanah air, kelibat beliau bersama isteri dapat dilihat di mana-mana acara permotoran samada dalam dan luar negara.

Turut hadir menyemarakkan lagi penganjuran acara ini adalah Pengerusi Majlis Belia Daerah Rompin, Mohd Hafiz Hj Bakar. Menerusi ucapannya, beliau mengatakan bahawa belia hari ini memerlukan bimbingan dan sokongan padu dari semua pihak. Belia yang akan mencorak kesinambungan negara pada masa akan datang. Oleh itu belia pada hari ini tidak harus dipandang sepi. Program sebegini secara tidak langsung akan mencungkil bakat tersembunyi yang ada pada belia. Disamping pendedahan tentang dunia permotoran serta kesedaran berhubung kait undang-undang jalanraya di negara kita.

Upacara perasmian telah disempurnakan oleh Komisioner Polis Dato Abdul Jalil Hassan Ketua Polis Pahang. Menurut beliau, program Karnival Permotoran Rompin ini lebih mendekati golongan muda khususnya peminat motosikal dan kereta. Ia juga menjadi medan kepada semua golongan masyarakat bagi menyertai, mempamerkan bakat sedia ada dan juga yang tersembunyi. Ini kerana motosikal dan kereta jelas berbeza cara pengendaliannya.

Menurut beliau lagi, aktiviti ini dapat memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pencegahan jenayah. Penerangan dan segala persoalan boleh diajukan di gerai pameran PDRM yang tersedia sepanjang Karnival Permotoran Rompin. Beliau turut menyeru seluruh masyarakat Rompin membantu pihak Polis dalam usaha membanteras jenayah.

Bagi makluman anda, karnival ini diadakan di kawasan rekreasi yang jauh dari sebarang gangguan iaitu di Pantai Hiburan Kuala Rompin. Penganjuran karnival ini berjalan lancar dengan sokongan rakan-rakan penganjur yang memberi sepenuh komitmen yang terdiri dari Red Apple Events And Productions Sdn Bhd, Win Win World Enterprise, Persatuan Permotoran Intergrasi Malaysia dan Kelab Rompin Riders. Selain itu, sokongan dan kerjasama juga datang dari agensi kerajaan iaitu Majlis Daerah Rompin, Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin, JPJ Daerah Rompin.

Karnival ini diceriakan dan dimeriahkan lagi dengan kehadiran pelawak terkenal tanah air, Lan Pet-pet serta aktivis Ayahnda Rani Kulop. Selain itu, beberapa aktiviti lain turut diadakan termasuk Pertunjukkan Menunggang Motosikal dari Tim Demo Sekolah Memandu & Menunggang kontijen Polis Pahang, persembahan drift kereta oleh AR Motosports.

Acara penutup telah dirasmikan oleh YB Dato’ Sri Hj Hassan Ariffin, Ahli Parlimen Rompin. Karnival Permotoran Rompin tidak akan berhenti setakat tahun 2019 sahaja. Perancangan untuk tahun 2020 telah disusunatur bagi menambah baik acara dan mungkin akan diusulkan kepada pihak Majlis Daerah Rompin agar dimasukkan ke dalam Kalendar Tahunan Rompin.

Sebagaimana kekangan yang dihadapi beberapa penganjuran program lain, karnival ini turut berdepan dengan isu dana yang perlu difikirkan serta memerlukan suntikan dari pihak Tourism Negeri kerana karnival ini diadakan berlandaskan 2 matlamat. Menyantuni kelab, pemilik motosikal dan kereta berkunjung ke Rompin dalam jumlah yang ramai sekaligus membantu pihak tourism mempromosi Rompin. Dalam masa sama, mendidik, memberi kesedaran serta menambah pengetahuan masyarakat Rompin tentang permotoran serta menjana ekonomi peniaga tempatan.

Disediakan oleh : Janggo