Setelah mempertimbangkan beberapa aspek keselamatan dan kebajikan penumpang, Kementerian Pengangkutan tidak akan memperkenalkan perkhidmatan teksi motosikal di Malaysia. Menurut Timbalan Menteri Kementerian Pengangkutan, Datuk Henry Sum Agong berkata, nahas jalan raya termasuk kematian atau kecederaan yang melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal amat tinggi.
“Isu melibatkan pematuhan kepada undang-undang dan peraturan jalan juga menjadi satu perkara yang perlu diberi perhatian yang serius dalam kalangan pengguna motosikal sedia ada.
“Kementerian akan meneruskan kajian secara berterusan bagi menilai semua aspek berkaitan perkhidmatan ini sebelum sebarang hala tuju mengenai perkara ini dipertimbang kelak,” katanya.
Beliau menjawab soalan Larry Soon (Bebas-Julau) mengenai rancangan menyeluruh untuk menjadikan perkhidmatan teksi motosikal sebagai pelengkap perkhidmatan awam baharu, pada sesi lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Henry berkata, keputusan itu dimuktamadkan kerajaan berdasarkan statistik kemalangan jalan raya dikeluarkan Polis Diraja Malaysia, pada 2019.
“Penunggang motosikal ialah kumpulan paling tinggi menjadi mangsa nahas jalan raya mewakili 64 peratus daripada jumlah kematian tahun itu.
“Angka ini melebihi 3,900 kes kematian berbanding 6,167 jumlah kematian direkodkan pada 2019. Kerajaan berdasarkan statistik ini menangguhkan keputusan berkenaan,” katanya.
Sumber : Bharian.com / ucars.sg