Dianjurkan oleh Persatuan Bermotosikal Negeri Johor Darul Takzim @ Johor Bikers, penganjuran Johor International Bike Week 2019 (JIBW) ini telah berlangsung dengan jayanya bermula dari 8 Mac hingga 10 Mac yang lalu. Bertempat di Stadium Tertutup Pasir Gudang, Johor, acara ini mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan khususnya dari penggiat dan penggemar permotoran dunia roda yang sering menanti penganjuran acara-acara seperti ini.Diadakan selama 3 hari berturut-turut, JIBW 2019 berjaya menghimpunkan para pencinta dunia doa roda dari pelbagai jenis motosikal serta dimeriahkan lagi dengan penyertaan kelab permotoran seluruh Malaysia. Bukan itu sahaja, JIBW 2019 ini juga menyaksikan penyertaan kelab-kelab dari negara-negara jiran termasuk Thailand, Singapura, Indonesia, Brunei dan banyak lagi.
Penganjuran JIBW 2019 ini dimeriahkan lagi dengan pelbagai pengisian aturcara menarik yang disediakan oleh pihak penganjur yang turut mendapat kerjasama dari PDRM, JPJ, Jabatan Pelancongan Negeri Johor, Kerajaan Negeri Johor dan Stadium Perbandaran Pasir Gudang. Antara aktiviti yang turut diadakan termasuk pertandingan Motorshow, gerai-gerai jualan karnival, aksesori dan motor, gerai-gerai pameran kelab-kelab motosikal, aktiviti berkonvoi, persembahan pentas dan macam-macam lagi.