Jentera Sport Tourer Dengan 2 Pilihan Warna Terbaharu


Jentera dua roda tempatan, Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd melancarkan varian
motosikal dalam segmen “sports tourer” yang digelar Modenas Dominar D400 (“Dominar D400”) –
model yang telah dinaiktaraf.

Model yang dipertingkatkan ini telah menerima beberapa sentuhan terkini dari segi teknikal serta
didatangkan dengan dua pilihan warna baharu berbanding versi asal yang dilancarkan pada tahun
2018 lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS, Roslan Roskan berkata, motosikal terbaharu MODENAS ini
merupakan sebuah model yang dinantikan ramai, dan beliau yakin ia akan menjadi model yang
digemari ramai berdasarkan peningkatan teknikal, gaya baru, serta harganya yang berpatutan.

Antara ciri peningkatan paling ketara pada model kali ini adalah penyerap hadapan terbalik atau
“Upside Down (“USD”) Fork” atau lebih dikenali sebagai fork USD yang menggantikan fork
teleskopik konvensional pada model terdahulu.

Enjin 373cc DOHC dengan teknologi DTS-I penyejukan cecair berkuasa 40PS dan tork 35Nm pula
menerima sistem ekzos muncung berkembar baharu. Dominar D400 naiktaraf ini menjanjikan
pengalaman tunggangan yang lebih berkuasa dan lebih selesa.

“Modenas Dominar D400 merupakan sebuah model sports tourer premium paling mampu milik di
dalam segmennya. Bagi mereka yang telah menanti-nantikan kedatangan model ini di Malaysia,
saya berterima kasih di atas kesetiaan dan penantian anda semua, dan saya yakin penantian itu berbaloi.

“Dengan harga yang menarik serta suntikan teknologi terkini, motosikal ini pasti
akan menjadi sebuah pelaburan yang bijak bagi pembeli,” kata Roslan.

Dominar D400 terbaharu menampilkan cakera brek bersaiz 320 mm di hadapan dan 230
mm di belakang, dan dilengkapi sistem Brek Anti-Kunci (“ABS”) “dual channel”. Jentera ini turut
dilengkapi penyerap hentakan tunggal Nitrox di belakang yang membolehkan penunggang membuat
penalaan suspensi untuk mendapat kualiti tunggangan menepati kehendak masing-masing.

Beberapa peningkatan lain adalah seperti ia dipadankan dengan sistem klac “Assist and Slipper” yang
akan membantu penunggang ketika membuat pertukaran gear secara mengejut.

Dilihat tampil lebih bergaya, varian ini juga menerima kemasan “tankpad” bercorak carbon baharu
serta logo Dominar pada tempat duduk belakang. Ia turut didatangkan dengan dua paparan meter
LCD yang kini lengkap dengan indikasi gear, penunjuk kelajuan, jarak perjalanan, jam, rpm, serta
penunjuk tahap minyak.

Di bahagian hadapan, Dominar D400 dilengkapi lampu hadapan automatik pula dari jenis “LED
mosaic” yang mampu memberikan pengcahayaan lebih jelas pada waktu malam serta membolehkan
penunggang dilihat dari jarak sejauh 1.5km. Modenas Dominar 400 ditawarkan dengan dua pilihan warna yang dilihat lebih segar iaitu “Savanna Green” dan “Charcoal Black”.

Motosikal ini dijangka akan berada di semua wakil pengedar sah MODENAS mulai September 2021
dan bagi peminat setia Modenas dan pencinta motosikal dalam segmen sport tourer, Dominar D400
terbaharu ini ditawarkan pada tanda harga RM13,997.00 (tanpa insurans dan cukai jalan).