Ramadan hanya setahun sekali dan ia menguji keimanan serta kesabaran umat islam di mana juga. Walaupun dalam bulan puasa yang mulia ini, bikers tidak pernah rehat. Ada sahaja program yang dianjurkan oleh kelab permotoran seluruh Malaysia. Begitu juga dengan kelab permotoran Jerlun Bikers 05 yang diketuai Presidennya, En Mohd Syafar bersama rakan-rakan biker lain. Pada tahun 2017, mereka pernah menganjurkan program memilih anak-anak asnaf dan anak yatim dari kawasan Jerlun.
Jerlun Bikers 05 telah memilih sebanyak 50 buah rumah asnaf dalam kawasan daerah Jerlun untuk menerima bantuan. Ini merupakan tahun ketiga Jerlun Bikers 05 memberi sumbangan berbentuk barangan keperluan dapur kepada keluarga yang telah dipilih mereka terlebih dahulu sebelum program berlangsung.
Pusat beli belah Jakel Alor Setar telah dipilih untuk program membeli pakaian hari raya untuk anak-anak asnaf dan anak-anak yatim dari daerah Jerlun. Sekitar jam 2.30 petang, kesemua anak-anak tersebut dibawa masuk menaiki bas untuk ke pusat beli-belah Jakel Alor Setar. Seterusnya, mereka dibawa mengikut dua kumpulan; anak-anak perempuan ditemani isteri-isteri Jerlun Bikers dan anak-anak lelaki ditemani biker lelaki untuk memilih persiapan hari raya seperti songkok, samping dan baju Melayu. Lebih kurang 2 jam anak anak ini dilayan kakitangan Jakel yang memilih keperluan mereka. Sebelum pulang, anak-anak ini menerima sumbangan duit raya dari En Daud dan isteri, Puan Rusni yang juga merupakan ahli Jerlun Bikers 05.