Jangan Terus Terjah, Ambil Masa Dan Periksa Tahap Kemahiran Sebelum Turun Padang

Sebelum ini, Roadstar telah berkongsi pelbagai tips termasuk persediaan dan pemeriksaan terhadap motosikal apabila berakhirnya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. Bahagian perkakasan sudah dikongsi terlebih dahulu, sekarang masa untuk bercerita tentang penunggang pula.

Hujung minggu ini, pasti ramai mengambil peluang untuk melakukan aktiviti. Berkonvoi menuju ke destinasi percutian. Tak kurang juga yang berpakat dengan rakan-rakan untuk pulang ke kampung halaman.

Jika pelumba profesional seperti MotoGP juga perlukan masa untuk mendapat rentak semula setelah berehat pada penghujung setiap musim, apatah lagi kita penunggang biasa yang terperap di rumah untuk tempoh masa yang lama? Nampak remeh tapi ia perlu dipandang serius kerana ada beberapa kes di mana penunggang berhadapan masalah setelah lama tidak menunggang.

1. Latih Semula
Kebarangkalian yang sangat tinggi di mana kebanyakan penunggang menghabiskan masa melepak dan bersantai sepanjang tempoh PKP. Sedar atau tidak, ia sedikit sebanyak mengganggu daya ingatan, menumpulkan kemahiran dan tidak kurang juga mengurangkan ketajaman deria rasa. Jangan terus melompat atas motosikal dengan mengganggap, semuanya ok dan terus memecut.

Mungkin semuanya kelihatan biasa, jangan tertipu dengan pemikiran serta kelemahan pancaindera yang cuba untuk menangkap semula ingatan apa yang ada di atas jalan. Sejauh mana kilometer yang akan ditempuhi. Cara terbaik, bermula dengan perlahan-lahan dan beri ruang sekiranya berlaku kesilapan. Sabar itu indah, bukan?

2. Mengasah Deria
Ia sebahagian dari usaha melatih diri semula tetapi sebagai penunggang motosikal, deria yang berkaitan dengan rasa ini perlu dibuat dengan lebih mendalam. Deria rasa atau gerak hati penunggang ini seperti pengesan (sensor) motosikal yang mengutip segala informasi dan maklumat sepanjang penunggangan.

Perhatikan dan rasa keadaan tayar semasa menunggang secara lurus, ketika mengambil selekoh, memecut dan juga membrek. Perhatikan kekuatan deruan angin pada kelajuan tertentu. Bagaimana bunyi enjin apabila gear berada pada RPM tertentu. Apakah jarak membrek dari kelajuan yang spesifik. Apa pula terjadi pada enjin apabila mode penunggangan ditukar dan banyak lagi.

Memulakan penunggangan dengan pantas akan mengejutkan deria rasa dan berkemungkinan menyebabkan anda panik walaupun sebelum ini boleh tutup mata membuat hal yang sama.

3. Santai Dan Tenang
Perhatikan cara anda memegang bar pemegang semasa kembali menunggang. Mungkin badan anda kaku semasa ingin mengambil selekoh. Ya, keadaan ini bukan berlaku kepada anda sahaja. Santai dan buat sedikit regangan sebelum memulakan penunggangan. Ia akan membantu anda untuk lebih tenang. Bagi meregangkan badan, ayunkan bahagian siku seperti ayam menyepak. Jika tangan tidak bergerak dengan bebas, buat regangan dan longgarkan genggaman pada pemegang bar serta turunkan bahu.

4. Tunggang Secara Solo Beberapa Kali
Cara terbaik untuk membina dan mengasah semula kemahiran adalah dengan menunggang secara solo beberapa kali sebelum menyertai mana-mana konvoi. Berbanding menunggang dalam kumpulan, anda boleh memberikan sepenuh perhatian terhadap tahap kemahiran dan tidak tertekan untuk mengikut tempo serta jarak yang ditetapkan oleh kumpulan, terpaksa mengejar penunggang motor lain yang mungkin menunggang lebih pantas.

5. Daftar Sekolah Menunggang Lanjutan
Jika tidak pernah memasuki mana-mana sekolah menunggang lanjutan, ini adalah masa yang terbaik. Sekolah menunggang ini diajar di litar tertutup sekaligus memberikan keyakinan serta keselamatan. Namun, apa yang lebih penting adalah tenaga pengajar akan memantau serta membina kemahiran menunggang anda ke satu tahap lebih tinggi pada cara yang betul. Anda pasti menjadi penunggang yang lebih baik berbanding sebelumnya.