Sukar untuk dinafikan bahawa negara kita sememang cukup terkenal dengan permasalahan ‘mat rempit’. Ketabahan anak-anak muda ‘bersaing’ di atas jalan-jalan raya atau lebuhraya banyak menimbulkan kecaman masyarakat umum.
Namun, tahukah anda bahawa terdapat beberapa individu yang berjaya mencapai kegemilangan di mata dunia dengan menjadi atlet dalam sukan permotoran motosikal yang sebelum ini kerap dicemuh oleh kebanyakan netizen.
Ini kerana, perlumbaan sukan bermotor drag race memang sesuatu yang mendebarkan kerana ia bukanlah sukan yang mudah dan memerlukan kesungguhan yang tinggi sama ada dari aspek pelumba itu sendiri atau pengurusan motosikal dan juga penganjuran sukan terbabit.
“Drag Race merupakan sukan yang ekstrem dan memerlukan keberanian untuk mengekstrak prestasi motosikal sepenuhnya. Seperti perlumbaan MotoGP, ia merupakan tahap tertinggi atlet permotoran (amatur) dapat capai kerana memang terkenal dengan kepantasan dan kemahiran tinggi,” ujar Mohamad Hairil Abd Hamid atau dikenali dengan jolokan Mat Yen yang menghiasi ruangan Show Off Road Star kali ini.
Bertindak sebagai principal bagi pasukan Mat Yen Motorsport LPRG-HPSP-Empire the Boss, nama Mat Yen cukup terkenal dalam kalangan peminat drag race tempatan. Malah, anak muda berusia 38 tahun kelahiran Kuala Kedah, Kedah diberi jolokan jagoan tidak didendang oleh sesetengah peminat sukan bermotor itu.
Mana tidaknya, Mat Yen bersama pasukannya pernah dinobatkan sebagai jagoan Asia Tenggara setelah muncul juara pada perlumbaan Asean Drag Race yang berlangsung di Gong Badak, Kuala Terengganu pada tahun 2023.
Pasukannya juga turut pernah merekodkan catatan masa terpantas dalam perlumbaan 2T 150 65AVGAS yang sehingga kini sukar dipecahkan oleh mana-mana pasukan hatta pasukan dari luar seperti Thailand atau Indonesia.
“Ketika (perlumbaan) itu, pilihan utama dalam kalangan pasukan dari Thailand. Begitu juga dengan dua pasukan lain iaitu Indonesia dan Filipina juga dianggap pencabar yang berkemampuan.
“Alhamdulillah…bukan sahaja pasukan saya beroleh kejayaan podium malah turut mencatatkan rekod masa terpantas pada kejohanan terbabit,” ujar Mat Yen yang membariskan dragster (joki) Am Ulala, Eman Chek dan Yon sebagai pelumba ketika itu.
Menurut Mat Yen, sebelum ini sukan drag race sering dianggap sukan permotoran yang tidak mempunyai ‘nyawa’ kini dilihat semakin berkembang dan diterima baik oleh masyarakat dan komuniti sukan permotoran tempatan.
“Sebelum saya menubuhkan pasukan Mat Yen Motorsport, saya juga merupakan seorang joki perlumbaan. Dengan pengalaman yang ada, saya mula membina pasukan dan mengrekutkan para pelumba.
“Banyak faktor yang menyumbang kejayaan pasukan pada setiap perlumbaan yang disertai. Antaranya tahap pelumba, kos penambahbaikan motosikal dan juga tajaan dari pihak luar. Musim lepas, kami berehat seketika atas sebab tertentu dan tiada penaja yang sudi bersama kami pada saingan lepas.
“Kini dengan sokongan penaja seperti Leprang Enterprise (LPRG), Hyper Speed (HPSP), Empire the Boss (Insurans), Mat Yen Motorsport kini lebih realistik untuk mengulangi pencapaian sebelum ini,” ujarnya.
Menurut Mat Yen lagi, sejak kebelakangan ini, sukan drag race telah diperkemaskan dengan beberapa peraturan tambahan yang ditetapkan oleh Motorsport Association of Malaysia (MAM) termasuk dari aspek keselamatan sama ada pelumba mahupun penonton yang berada di lapangan perlumbaan itu.
“Jika dahulu, pemakaian para pelumba hanyalah berseluar jeans, kasut biasa, topi keledar jenis terbuka dan jaket ketat tetapi kini tidak lagi. Menerusi peraturan MAM, para pelumba perlu memakai sut perlumbaan sepertimana para pelumba di arena cub prix.
“Begitu juga dengan topi keledar. Semua pelumba perlu memakai topi keledar bertutup penuh (full face) dan wajib memakai sarung tangan dan kasut perlumbaan. Selain itu, pelumba juga perlu mempunyai lesen perlumbaan sekiranya mahu beraksi di atas perlumbaan drag race ini,” ujar Mat Yen perihal penambahbaikan drag race berbanding ketika permulaan sukan itu diperkenalkan.
Sukan drag race juga kini lebih menarik bukan sahaja peraturan tambahan yang dikenakan oleh MAM tetapi netizen juga melihat sukan ekstrem itu sebagai wadah baharu sukan permotoran tempatan.
“Peminat yang hadir cukup teruja dengan drag race ini. Dari perlumbaan sehinggalah jentera yang digunakan. Malah keselamatan penonton yang hadir pada hari perlumbaan juga terjamin.
“Mereka melihat sukan drag race agak berbeza sedikit berbanding dengan perlumbaan motosikal lain. Bukan sekadar perlumbaan, malah motosikal yang digunakan dan pelumba yang menyertai antara yang menjadi topik bualan peminat yang hadir.
“Apa yang membuatkan mereka kagum adalah joki (penunggang motosikal) yang mempunyai kemahiran dan keberanian mereka untuk membuat keputusan dalam masa sesaat dalam mencapai kelajuan yang tinggi serta motosikal yang telah diubahsuai mengikut spesifikasi yang ditetapkan,” ujar Mat Yen ketika mengulas mengenai perlumbaan drag race tersebut.
PROFIL MAT YEN
Nama: Mohamad Hairil Abd Hamid
Panggilan: Mat Yen
Asal: Kuala Kedah
Umur: 38 Tahun
Karier: Pengusaha Bengkel Motosikal
Status: Berkahwin (1 orang anak)
Tahun Berminat Dalam Motosikal: Sejak Tingkatan 3
Pasukan: Mat Yen Motorsport
Kategori:
Super Open – 65AVGAS
Super Street
Real Street
Penaja:
Leprang Enterprise (LPRG)
Hyper Speed (HPSP)
Empire the Boss (Insurans)
Tahun Menyertai Drag Race: 2016
Jenama Motosikal: Yamaha 125ZR
Catatan Kejayaan:
2022 – Juara Drag Race Peringkat ASEAN / Kuala Terengganu
2022 – Juara Keseluruhan Kategori 2T 150 ProStreet
2023 – Juara Keseluruhan Kategori 2T 150 ProStreet
Rekod Terpantas 6.284 saat -2022 (Kebangsaan)
Rekod Terpantas 6.815 saat – 2023 (Kebangsaan)