Aksi perlumbaan Pusingan 4 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 yang berlangsung di litar Stadium Negeri Pulau Pinang telah melabuhkan tirainya dengan penuh dramatik. Kejuaraan kali ini menyaksikan kebangkitan luar biasa para pelumba dalam memburu gelaran juara, sekali gus menyajikan pertarungan sengit yang menguji ketahanan mental dan strategi pasukan demi menewaskan gergasi-gergasi litar.
Kemuncak perlumbaan 20 pusingan ini menyaksikan Irfan melancarkan serangan agresif dengan memintas Kasma pada pusingan ke-15, sebelum merekodkan masa terpantas 53.129s pada pusingan ke-18 untuk memintas Azroy. Irfan kekal tenang menahan asakan saat akhir untuk bergelar juara dengan masa 17’52.569s, manakala Azroy terpaksa akur di tempat kedua dengan perbezaan 0.447s, disusuli Kasma di tempat ketiga untuk melengkapkan kedudukan podium.
Beralih ke kategori CP125, pasukan PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING melakar kejayaan berganda apabila Md Farid Hakimi Farid Sezli muncul juara manakala rakan sepasukannya, Md Syamil Amsyar M Iffende menduduki tempat kedua. Pada awalnya, persaingan sengit tertumpu kepada pertarungan tiga penjuru termasuk Md Idlan Haqimi Raduan yang sempat memimpin perlumbaan sebelum jenteranya mengalami masalah teknikal pada pusingan ke-10, sekali gus meleburkan harapannya untuk bergelar juara.
Situasi tersebut dimanfaatkan sepenuhnya oleh Farid untuk mengambil alih tampuk pimpinan, namun asakan bertali arus daripada Syamil di selekoh terakhir memaksa kedua-dua pelumba memecut bersebelahan ke garisan penamat. Farid membuktikan kehebatannya apabila melintasi garisan terlebih dahulu dengan masa 13’46.500s, hanya dipisahkan margin 0.110s di hadapan Syamil, manakala tempat ketiga menjadi milik Md Khairi Asyraf Mahmood daripada IPONE YAMAHA YY PANG RACING TEAM.
Sementara itu, kategori WIRA pula menyaksikan keberanian Nuzzul Ady Muhammad Sudin dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING yang memenangi perlumbaan selepas memanfaatkan kegagalan pemegang petak utama, Raja Abdurraqib Raja Norfatihah melakukan permulaan yang baik. Keadaan ini membolehkan Ady memecut ke hadapan, manakala Md Fairil Hazmi Farid Sezli dari IGOL BROTHERS 7 TECH RACING mengekorinya rapat di kedudukan kedua.
Pertarungan menjadi semakin dramatik pada pusingan terakhir apabila Fairil dan Ahmad Malek Ridha yang sedang bersaing sengit untuk merebut kedudukan podium akhirnya terjatuh bersama. Insiden tersebut memberikan durian runtuh buat Md Al-Syafiq M Al Amirul Zaki yang menamatkan saingan di tempat ketiga, sekali gus mengesahkan kemenangan sulung buat Ady dengan catatan masa 11’12.381s, diekori rapat oleh rakan sepasukannya, Abdurraqib di tempat kedua.
Secara keseluruhannya, Pusingan 4 di Pulau Pinang ini bukan sahaja mementaskan drama kejar-mengejar dan insiden teknikal yang tidak diduga, malah menjadi bukti kepentingan pelarasan jentera yang sempurna serta ketenangan minda pelumba semasa beraksi. Kejayaan para pemenang mendedikasikan kemenangan mereka kepada kru mekanik dan keluarga tercinta menutup tirai saingan kali ini dengan penuh emosi dan semangat kesukanan yang tinggi.
Top 3 Terpantas – CP150
1. Md Irfan Haykhal Amidi – TAB SPORTS SCK Honda Racing (17’52.569s)
2. Azroy Hakeem Anuar – Honda Castrol Power 1 Yuzy Racing (17’53.016s)
3. Kasma Daniel Kasmayudin – Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor (17’55.765s)
Top 3 Terpantas – CP125
1. Md Farid Hakimi Farid Sezli – PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing (13’46.500s)
2. Md Syamil Amsyar M Iffende – PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing (13’46.610s)
3. Md Khairi Asyraf Mahmood – IPONE Yamaha YY Pang Racing Team (13’48.927s)
Top 3 Terpantas – Wira
1. Nuzzul Ady Muhammad Sudin – PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing (11’12.381s)
2. Raja Abduqrraqib Raja Norfatihah – PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing (11’13.091s)
3. Md Al-Syafiq M Al Amirul Zaki – IGOL Brothers 7 Tech Racing (11’18.485s)