Imbasan Kenangan Di Penang Bike Week

Dahulu, sebut saja Penang Bike Week, penunggang motosikal berkuasa tinggi akan membuat persediaan, begitu juga kelab-kelab akan mengadakan mesyuarat. Ini bagi memastikan ahli-ahli mereka turut sama dalam meraikan disamping menyokong serta memeriahkan lagi acara permotoran yang sentiasa dinanti-nantikan penganjurannya.

Pada tahun 2014, Penang Bike Week telah diadakan di Padang Kota Lama, sebuah tempat yang sarat dengan pelbagai sejarah awal Pulau Pinang. Terletak betul-betul di tepi laut, ia merupakan salah satu daya tarikan kepada bikers yang baru pertama kali sampai ke sini. Perubahan bukan saja pada tapak acara, malah penganjur turut mempelbagaikan aktiviti yang mana sebelum ini belum pernah diadakan. Antaranya termasuklah Motack, pertunjukkan ‘stunt’ dari KTM dan juga Mini Bike.

Sebanyak hampir 1,700 penunggang motosikal berkuasa tinggi berkunjung ke Penang Bike Week ini. Peserta Penang Bike Week juga berpeluang merentasi Jambatan Kedua Pulau Pinang; Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah. Konvoi yang melibatkan seramai 700 bikers itu bermula dari Padang Kota Lama menuju Batu Kawan di Tanah Besar, Pulau Pinang merentasi jambatan terpanjang Asia Tenggara yang jaraknya 24 km dan diiringi Anggota Polis Trafik dari Ibu Pejabat Kontijen Polis Pulau Pinang.

Lawatan ke ruang pameran Jualan Harley Davidson di Batu kawan serta acara makan durian di Jabatan Pertanian Butterworth adalah antara acara yang diaturkan penganjur untuk peserta konvoi. Jualan aksesori dan gerai pameran motor turut disedaiakan di Penang Bike Week ini. Kehadiran orang awam juga tidak kurang hebatnya bagi menyaksikan pelbagai acara yang jarang-jarang dapat disaksikan terutama acara stunt dan Motack. Kemuncak Penang Bike Week ini ialah pada malam acara penutup, dimana pelbagai hadiah agak lumayan disediakan kepada pengunjung bertuah.