Honda CB500X, Lasak bergaya!

Honda CB500X, Lasak bergaya!

Sekilas pandang, jentera ini agak menarik sekali gus menambahkan keterujaan dan membuatkan hati tidak sabar untuk menunggangnya. Fokus saya tertumpu kepada beberapa komponen di handle bar sebelah kiri serta tuil gear terbalik. Adakah model ini sudah dinaiktaraf? Mungkin juga sasaran utamanya adalah kaum hawa.

Bergaya pengembaraan dwi-sukan (Sport Dual Tourer), model Honda CB500X ABS ini telah dikemaskini. Sebelum menghidupkan enjin, penelitian lebih terperinci ditumpukan ke atas reka bentuk yang menarik. Berbekalkan berat 196kg, jentera ini tidak membebankan penunggang dan masih boleh dikategorikan ringan dalam middleweight untuk motosikal berkuasa tinggi.

Boon Siew Honda Malaysia mengambil langkah bijak dengan membawa masuk model Honda CBU; CBR500R, CB500F dan CB500X yang dikenali sebagai Trio CB Five di kalangan pencinta 2 roda yang mengikuti perkembangan motosikal keluaran Honda. Keseronokan menunggang dan penilaian unggul adalah antara faktor yang mendorong para pencinta 2 roda untuk memiliki sebuah motosikal idaman. Persoalannya, adakah Honda CB500X ABS memenuhi ciri-ciri tersebut?

Apabila sebut sahaja model CBR dan CB, tiada apa perlu diragui. Umum sedia maklum tentang jenama tersebut dari teknologi litar dan tiada keraguan terhadap jentera yang menggunakan teknologi ini. Jenama Honda pula bukan satu nama asing di persada dunia 2 roda di tanah air. Lebih setengah abad jenama ini bertapak di sini dan pelbagai model sudah pun berada di atas jalan raya Malaysia.

Honda CB500X adalah versi touring pada asasnya tapi seperti yang dikatakan awal tadi, ia boleh dikategorikan sebagai Sport Dual Tourer. Kenapa? Jika dilihat dari sudut ketinggian yang agak mendongak di bahagian hadapan, bermula dari fork depan hingga ke handle bar serta diadunkan dengan windshield dan paruh kecil, ia lebih kepada ciri-ciri sebuah jentera touring. Namun begitu, rimsport dan pengunaan tayar sport tourer bersaiz 120/70/17 di depan dan 160/60/17 di belakang telah membezakan varian ini dari varian touring sejati.

Pencungkil gear yang dipasang terbalik, kedudukan butang hon dan penolak signal serta sistem brek ABS menggunakan cakera tunggal (Single Disc) di depan, perbezaannya agak ketara berbanding model yang pernah ditunggang uji. Perkara asas ini perlu dipraktikkan demi keserasian dan keselamatan semasa menunggang.

Ujian pertama ialah menilai tahap penghadang angin baru yang lebih besar dan efektif berbanding model sebelum ini. Ianya bersesuaian dengan keadaan semasa, di mana cuaca tidak menentu serta angin bertiup kencang terutamanya di lebuhraya. Destinasi perjalanan yang dipilih pula adalah dari Kuala Lumpur ke Ipoh. Ujian ini membuktikan bahawa penghadang angin baru berfungsi seperti diharapkan ketika angin yang tidak kurang kencang dengan pecutan santai sekitar 140km/j.

Keseronokan berganda menunggang varian ini kerana pengendalian yang ringkas dan mudah dengan berat kurang dari 200kg, ia merupakan motosikal yang mampu bertindak mengikut pemikiran penunggang. Apatah lagi apabila terpaksa mencelah ketika terhimpit dengan kenderaan di lebuh raya yang agak sibuk.

Memandangkan perjalanan pulang dari Ipoh ke KL agak kurang mencabar, saya terpaksa menukar destinasi untuk ujian lebih agresif. Jika siri tunggang uji yang lepas, kami melakukan beberapa ujian dalam pelbagai keadaan dan cuaca seperti hujan lebat, lewat malam yang berkabus serta melalui jalan-jalan berliku dan meredah kesesakkan lalu lintas. Tujuannya adalah untuk memberi ruang agar pembaca Roadstar menilai serta memahai karakter jentera yang diuji bersesuaian dengan keadaan jalan raya di Malaysia di samping membantu bakal pemilik membuat pilihan yang tepat.

Seterusnya, ujian kedua dijalankan semasa memenuhi jemputan menyertai rombongan jelajah promosi Terengganu Bike Week ke Johor. Ujian kali ini agak mencabar tahap kesabaran sekali gus menilai kemahiran berdasarkan pengalaman selama terlibat dengan dunia 2 roda.

Cabaran telah dimulakan dari Air Keroh sehingga ke Machap, diiringi tiupan angin kencang dari hadapan, diselang seli kiri dan kanan, berhadapan dengan lori treler dan bas di jalan yang hanya 2 lorong. Ya, memang cukup mencabar!

Di sini pecutan bukanlah satu tindakan bijak tetapi pengendalian dan karakter Honda CB500X memberikan respon terhadap tindakan yang harus diambil demi keselamatan semasa berdepan situasi tegang. Jarak ketika memotong, jarak ketika mengikuti dari belakang dan paling penting, masa sesuai untuk memotong kenderaaan berat dengan kelajuan yang selamat serta tidak menjejaskan stabiliti motosikal tersebut.

Tugas ini terletak pada enjin 471cc berkembar selari (parallel twin) berkuasa maksimum yang menjanakan sekitar 49.6hp serta tork maksimum dalam 44Nm atau bersamaan 4,000rpm, digabungkan bersama transmisi 6 kelajuan dan pemacu yang menggunakan rantai bertindak. Kombinasi ini menghasilkan satu tindakan yang menjadi pilihan dan dapat dirasakan semua kuasa enjin datang dari tayar belakang.

Jujurnya, menunggang CB500X memberikan satu kepuasan dan keseronokan kerana pecutan serta kawalan yang mudah dan ringkas. Kombinasi yang diadunkan sesuai bagi mereka yang baru berjinak dengan motosikal berkuasa tinggi. Tiada sebarang halangan andai terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

Pengendalian cukup ringkas dengan handle bar yang luas, tidak merimaskan andai berhadapan dengan situasi di mana anda terpaksa mencelah. Dari segi keselamatan pula, ia merupakan idea yang cukup mantap dihasilkan oleh gabungan jurutera pereka jentera ini. Tiada masalah bagi menghasilkan cengkaman brek walaupun hanya menggunakan cakera tunggal di depan.

Lazimnya, motosikal berkuasa tinggi yang terdapat sistem ABS akan menggunakan dwi cakera untuk sistem brek pada roda hadapan. Keraguan yang diawalnya terus lenyap setelah menguji cengkaman sistem brek CB500X.

Seterusnya tentang stabiliti ketika mengambil selekoh dan jalan-jalan berliku. Ujian ini dilakukan pada waktu malam di lebuh raya Karak, jalan yang terkenal terutama sekali pada hujung minggu. Waktu malam diambil kira kerana 2 faktor; kesibukan jalanraya serta ujian lampu LED yang ada pada Honda CB500X.

Mantap! Ya, perkataan ini sudah cukup menggambarkan kehebatannya.

Jentera ini tidak boleh diukur kemampuannya setahap SBK, tetapi dalam pengkelasannya terbaik dan cukup mudah untuk masuk dan keluar dari selekoh. Secara ringkasnya, kemampuan Honda CB500X tidak boleh dipandang rendah khususnya oleh penunggang yang minat main ‘kona’. Cuba dulu dan rasai kenikmatannya. Lampu LED banyak membantu ketika berada dalam kepekatan malam yang gelap gelita. Posisi pemasangannya di jentera ini sangat ideal, tepat dan efisien.

Kepada mereka yang mempunyai iltizam untuk menjadikan Honda CB500X ini sebagai motosikal kegunaan harian, berulang alik ke tempat kerja serta terpaksa mengharungi kesesakan trafik di Ibu Kota. Pengunaan bahan api untuk model ini juga mampu menjimatkan eknonomi. 17.5 liter penuh tangki mampu mengharungi perjalanan sejauh 250km dengan kelajuan maksima 170km/j. Cuba fikirkan, andai anda menggunakan bahan api dalam kelajuan minima? Sudah pasti menjimatkan.

* Artikel ini disiarkan dalam majalah Roadstar edisi 42