Berbeza dengan kebiasaan jentera dua roda yang memasuki litar kebanggaan negara, Litar PETRONAS Sepang, kali ini ‘ngauman’ dari enjin Harley-Davidson memecah dominasi ‘sportbike’ sekali gus mencipta sejarah tersendiri.
Kali pertama dalam momen bersejarah, Harley-Davidson Malaysia baru-baru ini mencatat satu pencapaian baharu dengan menganjurkan Harley-Davidson Track Day sulung di Litar Antarabangsa Sepang, sekali gus memberi pengalaman unik jenama ikonik Amerika ini kepada peminat tempatan.
Acara unik itu turut menghimpunkan 70 buah motosikal Harley-Davidson bersama penunggang dari seluruh Semenanjung Malaysia untuk satu hari tunggangan di litar yang terkawal.
Para pemilik jentera itu juga berpeluang merasai sendiri prestasi dan pengendalian model-model jelajah Harley-Davidson dalam suasana litar profesional-sesuatu yang jarang ditawarkan di Malaysia.
Antara model yang mengambil bahagian termasuk Road Glide™️, Street Glide™️, Road King™️, CVO Street Glide™️, Fat Boy™️ dan pelbagai model lain, sekali gus membuktikan kepelbagaian barisan Harley-Davidson yang bukan sahaja sesuai untuk perjalanan jauh.
Pemilik Harley-Davidson atau Harley Owners Group (H.O.G) itu hadir ke Track Day itu terdiri dari lima kumpulan iaitu H.O.G. Petaling Jaya Chapter, H.O.G. Route 77 Kuala Lumpur Chapter, H.O.G. Johor Bahru Chapter, H.O.G. Penang Chapter dan H.O.G. Kinabalu Chapter.
Para penunggang datang dari pelbagai lokasi di seluruh negara, mencerminkan semangat persaudaraan dan komuniti yang kukuh dalam kalangan keluarga Harley-Davidson.
Acara ini turut disokong oleh rakan gaya hidup Monster Energy, yang memastikan tenaga penunggang sentiasa optimum, serta Inside Scoop yang menyediakan aiskrim-aiskrim pelbagai rasa dan makanan ringan untuk peserta dan tetamu di kawasan paddock.
Lebih daripada sekadar satu acara tunggal, Track Day ini menjadi sesi ‘warm up’ menjelang Malaysia National H.O.G. Rally yang akan datang. Acara ‘flag-off’ kebangsaan dijadualkan pada 23 Januari 2026, dengan lebih 200 buah motosikal dijangka bergerak bersama ke Adena Beach Resort, Kuantan, Pahang.
Penganjuran Track Day sulung ini menegaskan komitmen Harley-Davidson Malaysia dalam memperkaya pengalaman penunggang, sambil terus mengukuhkan semangat “United We Ride” di seluruh negara.