Sebuah kedai pakar berkaitan semua tentang kustom di Netherland, Moto Adonis telah menukar sebuah Harley Davidson LiveWire kepada sebuah motosikal berseni dan sedia untuk memanaskan jalanraya pada bila-bila masa. Moto Adonis telah mereka semula motor ini dengan menggunakan warna hitam sebagai tema utama, diserikan penampilan cukup menawan dengan sentuhan elektrik futuristik.
Moto Adonis memilih untuk mereka semula penggayaan motor ini secara keseluruhannya dan hasilnya dapat dilihat dengan jelas, sukar untuk mengatakan ia adalah sebuah Harley Davidson LiveWire. Namun, Moto Adonis masih mengekalkan kemampuan dan keupayaan asal motor LiveWire ini. Semua modifikasi yang dilakukan bertumpu kepada mengekalkan prestasi dan juga ergonomik motor ini.
Digelar sebagai The Rule Breaker, Moto Adonis mengambil masa selama 4 bulan untuk membinanya. Semua bermula dari lakaran sebuah konsep dengan elemen rekaan yang lebih teliti seperti dipersetujui oleh Moto Adonis dan juga pelanggannya. Setelah itu, proses diteruskan dengan rekaan dari sudut digital di mana pasukan Moto Adonis menggunakan pita dan kadbod.
Seteleh selesai dengan ukuran jalur-jalur serta setiap sudut berkenaan, pasukan ini mula mengukir panel badan menggunakan aluminium. Menggunakan cara tradisional seperti penukul, roda dan juga kimpalan bagi membentuk The Rule Breaker.
Kemudian, mereka berganjak dan menumpukan perhatian terhadap bahagian elektrik pula. Bagi menyempurnakan rekaan futuristik dan dalam masa yang sama, gaya yang minimal, beberapa lampu LED dipasangkan. Lampu-lampu ini mampu berubah warna dengan menggunakan aplikasi pada telefon pintar. Semua alat-alat tambahan elektrik yang dipasangkan tidak mengganggu wayar sedia ada motor ini kerana mahu mengekalkan kemampuan asalnya sebaik mungkin.
Beralih ke bahagian belakang The Rule Breaker ini, bahagian ekor dan tempat duduk turut diukir dengan memasukkan komponen elektronik ke dalamnya. Moto Adonis menyudahkan The Rule Breaker ini dengan mengenakan warna semuanya hitam dan ianya agak mencabar kerana panel badan dari aluminium perlu diluruskan sebelum berjaya mendapatkan hasil akhir yang sempurna.
Sebagaimana yang dapat dilihat, hasil kerja Moto Adonis ini memang menakjubkan.
Sumber : Rideapart / The Pack