Harga Kekal RM5,698 Untuk Pasaran Malaysia

Yamaha Malaysia mengumumkan ketibaan Yamaha EZ115 versi 2026, kini dengan tiga pilihan warna baharu; Biru, Kelabu dan Hijau sekali gus memberi nafas segar kepada model kapcai kompak yang popular dalam segmen harian ini. Menariknya, harga masih kekal pada RM5,698 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.

Dari segi mekanikal, EZ115 masih mengekalkan pakej enjin yang sama seperti model sebelumnya. Ia dikuasakan enjin 113.7 cc SOHC penyejukan udara yang mematuhi piawaian EURO-4. Enjin ini menghasilkan 9.92 hp pada 7,750 rpm dan 9.9 Nm tork pada 6,500 rpm, dipadankan dengan kotak gear 4-kelajuan dan pacuan rantai. Karakter enjin yang ringan dan ekonomik menjadikan EZ115 pilihan logik untuk kegunaan bandar dan perjalanan harian.

Sistem brek juga kekal dengan konfigurasi yang mudah diselenggara. Cakera hidraulik tunggal di hadapan dan brek dram di belakang. Yamaha mengekalkan suspensi fork teleskopik di depan serta penyerap hentak berkembar laras pramuatan di belakang, memberikan tunggangan yang stabil dan selesa untuk penggunaan harian.

Bahagian pencahayaan masih menggunakan lampu utama halogen, manakala panel meter analog memastikan paparan maklumat penting seperti kelajuan, paras minyak, odometer dan kedudukan gear kekal mudah dibaca. Di bawah tempat duduk, pengguna mendapat tangki minyak 3.9 liter serta ruang simpanan yang mampu memuatkan helmet open-face.

Dengan berat hanya 98 kg serta ketinggian tempat duduk 775 mm, EZ115 sangat mesra penunggang baharu dan mereka yang mahukan motosikal yang mudah dikawal. Roda 17 inci dengan tayar 70/90 depan dan 80/90 belakang memberikan keseimbangan baik antara kestabilan dan kelincahan di jalan raya.

Secara keseluruhan, Yamaha EZ115 2026 kekal sebagai motosikal utiliti yang ringkas, jimat dan tahan lasak, kini tampil lebih segar dengan warna baharu tanpa perubahan harga. Ia terus menjadi pilihan kukuh untuk penunggang yang mahukan kapcai mampu milik dengan penyelenggaraan minima dan karakter yang mudah ditunggang.