Bagaikan silih berganti, perang skuter di pasaran tanah air jelas belum reda. Kehadiran model-model baharu, merancakkan senario pasaran skuter tanahair sekali gus memberi pilihan kepada pengguna.
Kehadiran jenama ARIIC di pasaran tempatan dengan pelancaran model ARIIC 318GT, menarik perhatian peminat skuter tempatan, malah model ini hadir dengan ‘features’ melalui reka bentuk yang premium, sistem brek ABS, skrin TFT digital, serta kuasa enjin yang mantap.
Untuk info, ARIIC merupakan jenama motosikal skuter premium yang diasaskan oleh Zhejiang ARIIC Motorcycle Co., Ltd. di China. Ditubuhkan pada tahun 2020, ARIIC tampil sebagai pencabar baharu yang membawa nafas segar dalam dunia mobiliti dua roda.
ARIIC 318GT dipertontonkan bersempena majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Bersama Media di Courtyard Kuala Lumpur antara lain model ini menggabungkan gaya agresif, teknologi pintar dan prestasi yang mengujakan.
Dikuasakan oleh enjin silinder tunggal, 4-injap, 4-lejang, SOHC bersesaran 330cc, ARIIC 318GT mampu menghasilkan kuasa maksimum 20.6kW pada 7,000rpm dan tork 30.8Nm pada 5,500rpm dengan nisbah mampatan 10.5:1. Saiz piston dan lejangnya adalah 77mm x 70.8mm bersama kapasiti bateri 12V11.2Ah.
Sistem penyejukan cecair dan transmisi automatik CVT memberikan penukaran kuasa yang lancar serta responsif. Skuter ini turut menggunakan klac jenis sentrifugal kering bagi memberikan kawalan kuasa yang efisien secara automatik sepanjang tunggangan.
Reka bentuk aerodinamik model ini diserlahkan dengan fungsi LED pada lampu hadapan yang berbentuk ‘V’, lampu belakang serta digandingkan pada lampu isyarat dan lampu kecemasan.
Sistem meter paparan TFT pada ARIIC 318GT turut memberikan informasi lengkap secara digital dan moden, manakala sistem pencucuhan ECU menjamin kecekapan bahan api dan prestasi yang optimum.
Dengan dimensi 2,215mm panjang, 780mm lebar dan 1,395mm tinggi serta jarak roda 1,540mm, skuter ini menawarkan kestabilan dan ruang tunggangan yang luas. Berat keringnya ialah 208kg dengan ketinggian tempat duduk 790mm.
Kapasiti tangki bahan api pula ialah 16-liter (sekitar RM32) cukup sesuai bagi anda untuk melakukan ‘ride’ hujung minggu bersama pasangan atau secara berkumpulan sekali gus mengurangkan masa untuk kekerapan mengisi bahan api semula.
Bagi memberi keselesaan, model ini disertakan dengan sistem suspensi hadapan dan belakang menggunakan penyerap hentak berkembar yang memberikan keselesaan dari segi penyerapan hentakan di pelbagai permukaan jalan.
Cengkaman brek ditingkatkan dengan cakera brek berganda dengan saiz 260mm di hadapan dan cakera tunggal 240mm di belakang, disokong dengan sistem ABS BOSCH dwi-saluran untuk keselamatan maksimum. Saiz tayar hadapan adalah 120/70-14 dan belakang 150/70-13, kedua-duanya jenis CST dan tanpa tiub.
Skuter ini juga dilengkapi dengan ruang simpanan hadapan kiri dengan fungsi port pengecasan USB (Type-A & Type-C), ruang simpanan hadapan tengah, serta ruang simpanan bawah tempat duduk dengan sokongan hidraulik yang lengkap dengan sistem pencahayaan dan mampu memuatkan sebiji topi keledar bermuka penuh dan sebiji topi keledar separuh muka.
Lebih menarik lagi, ARIIC 318GT tersedia dengan pelindung angin boleh laras serta butang kawalan berlampu (backlit button) untuk kemudahan semasa penunggangan waktu malam.
Menambahkan lagi skuter ini agak premium berbanding pencabar seangkatan dengannya, ARIIC 318GT dilengkapi dengan sistem kunci pintar PKE (Passive Keyless Entry) yang tidak memerlukan pengguna skuter menekan butang atau menyucuk kunci pada motosikal.
Sistem PKE ini akan mengesan kehadiran kunci pintar apabila berada dalam jarak tertentu sekaligus mengoptimumkan masa yang diperlukan untuk menghidupkan enjin.
Bagi menampilkan ciri-ciri keselamatan terhadap pengguna, skuter ini dilengkapi kamera hadapan (dashcam) membantu merakam perjalanan seterusnya meningkatkan keyakinan dan keselamatan pengguna skuter.
Beberapa ciri premium lain turut dipadankan ke atas model ini antaranya brek tangan dengan tuas boleh laras, ‘footrest’ dengan material jenis aluminium boleh lipat serta pemegang belakang (rear handrail).
Fungsi TPMS (Tyre Pressure Monitoring System) turut tersedia pada skuter gagah ini yang akan memantau tekanan angin tayar secara automatik dan memberi amaran kepada penunggang jika tekanan berada di bawah tahap selamat.
Melihat kepada penampilan model ARIIC 318GT ini, penulis menyifatkan jentera ini direka khas untuk penunggang moden yang mementingkan keselesaan dan gaya dalam tunggangan harian atau perjalanan jarak jauh.
Bagi anda yang tertarik dengan ARIIC 318GT, pilihan warna menarik hadir iaitu Matt Black, Dark Grey dan Matt Grey. Harganya juga cukup ‘menyesakkan’ jenama motosikal lain kerana dengan tag harga RM22,888.00 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans), ditambah dengan segala ciri-ciri premium yang diberikan, pasti terdetik untuk menyaksikan secara dekat di bilik pameran Mforce berhampiran dengan anda.
Untuk memastikan nilai ringgit anda dihargai, setiap pembelian ARIIC 318GT boleh menikmati jaminan waranti perbatuan tanpa had untuk tempoh dua tahun serta perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd.