Halang Laluan, Motosikal Penghuni Kuaters Pangsapuri Dikunci

Tidak meletakkan motosikal di tempat parkir disediakan, menghalang laluan guna sama dan membawa naik motosikal ke aras atas kuarters pangsapuri. Itu antara kesalahan dikesan Unit Penguatkuasa, Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH), Jabatan Perdana Menteri (JPM) ketika menjalankan Operasi Penguatkuasaan Peraturan Menduduki Kuarters Kerajaan di Fasa 17RK2, Presint 17, di sini.

BPH dalam kenyataan berkata, operasi membabitkan 10 pegawai penguat kuasa bermula pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari itu berjaya mengesan 88 buah motosikal yang diletakkan di tempat yang tidak sepatutnya. Menurutnya, pihaknya mengambil tindakan mengunci 88 buah motosikal berkenaan kerana melanggar beberapa kesalahan termasuk parkir di kawasan yang tidak dibenarkan dan meletakkan motosikal di aras atas kuarters jenis pangsapuri.

“Operasi kali ini tertumpu kepada peraturan berkaitan meletakkan motosikal di kawasan kuarters. Sebanyak 88 buah motosikal telah dikunci atas kesalahan meletak kenderaan di kawasan yang tidak dibenarkan. Pemilik motosikal perlu membayar denda RM30 bagi membuka kunci berkenaan,” katanya.

Katanya, operasi seumpama ini akan diteruskan di lokasi-lokasi lain pada masa depan.

Selain itu, katanya, tujuan operasi ini bukan untuk menghukum atau mendenda penghuni kuarters, tetapi bagi memastikan keselesaan dan kesejahteraan penghuni terjaga serta terpelihara.

Menurutnya, pihaknya mendapati ruang parkir motosikal yang disediakan juga masih banyak yang kosong namun, tidak digunakan sepenuhnya oleh penghuni.

“Kami juga ingin mengingatkan penghuni kuarters untuk sentiasa mematuhi segala peraturan dan menjaga kemudahan yang telah diberikan dengan baik dan sempurna, demi keselesaan semua,” katanya.

Katanya, sebelum operasi dijalankan, pihaknya sudah memberi notis kepada penduduk supaya mematuhi peraturan ditetapkan. -K! ONLINE