Superduc 1098; Still Going Strong!!!
Saya memang kuat bekerja. Niatnya untuk mengubah kehidupan kerana anda semua tahu semua barang dan perkhidmatan sekarang melampau mahalnya. Bermacam kerja sampingan saya lakukan untuk menambah pendapatan dan Alhamdulillah setakat ini saya gembira dengan apa yang dibuat dan bersyukur dengan apa yang diperoleh. Fotografi masih menjadi tugas utama yang saya suka dan sebaik sahaja sesi fotografi Ducati 1098 ni, corak pemikiran saya telah berubah sama sekali. Pertemuan dengan pemiliknya, Hj Rock telah membuka lembaran baru dalam kehidupan yang bakal dilalui untuk masa akan datang.
Mungkin ramai yang merasakan ‘duit’ adalah tonggak dalam menentukan kehidupan jenis apa yang kita hendak pilih. Tapi saya tidak berfikir ke arah itu lagi. Yang paling penting dalam hidup ini sebenarnya ialah kesihatan. Perkara yang kawan lama Abang Zul pesan berkali-kali. Abang Zul adalah kawan baik saya, berumur lewat 50-an dan masih gagah ke kebun bila kelapangan. Patutlah beliau tidak duduk di rumah walaupun setelah pencen kerana pendapatnya mudah, berkebun adalah untuk senaman-perkara yang tidak saya peduli langsung sebelum ini.
Pemilik Ducati 1098 ni yang mahu dikenali dengan panggilan Hj Rock berumur lebih 80 tahun, masih ‘ride’ pada hujung minggu bersama anak muda yang sebaya dengan anak cucunya. Jika beliau menunggang Harley Davidson atau BMW 1200RT atau Versys memang saya tak peduli tapi anda berhadapan dengan superbike tulen Ducati 1098!
Sejak dari usia mudanya, HJ Rock adalah seorang penggemar motosikal. Berbeza dengan anak muda lain di eranya, Hj Rock memilih untuk merantau ke seluruh dunia untuk mengenali kehidupan sebenar. Beliau mengembara bersama pasukan tabligh untuk berdakwah. Maaf cakap, ramai orang kita memandang serong kepada golongan tabligh tapi tahukah anda tanpa mereka masjid dan surau kita hanya meriah waktu solat 5 waktu sahaja? Tabligh mengimarahkan masjid dan atas usaha inilah yang mendorong Hj Rock mencari kehidupan yang lebih bermakna. Mendalami agama meneruskan kehidupan sederhana dan menjalankan perniagaan yang telah mengubah poliferasi hidupnya sehingga kini.
Dari muda, beliau telah menunggang berpuluh jenis motosikal. Seorang yang gemarkan kelajuan, Hj Rock membeli Suzuki Hayabusa, motosikal impiannya pada pertengahan tahun 2005 dan kekal menunggangnya ke seluruh Semenanjung. Kemalangan? Jika takutkan risiko lebih baik duduk di sofa dan menonton Maharaja Lawak, Hj Rock bukanlah jenis yang begitu. Beberapa kali terlibat dalam kemalangan kecil tak mematahkan semangatnya. Ketika usianya mencecah 74 tahun, beliau membuat keputusan menukar selera Jepun kepada Itali dan berjaya mendapatkan sebuah 1098 yang cukup terjaga.
Kata orang alah membeli menang memakai. Walaupun membayar motosikal ini sedikit lebih dari harga pasaran, beliau sangat berpuashati dengan kondisinya yang cemerlang. Tiada apa yang perlu dibuat lagi. Duc ini sudah lengkap dengan aksesori karbon, single seat, visor MRA depan, perehat kaki Lightech, short shifter dan yang paling penting set ekzos lengkap underseat Arrow. Jika Ducati sinonim dengan Termignoni, selera Arrow mungkin ada sedikit kelainannya, bunyinya, Masya-Allah, bila gabungkan dengan kotak gear klac kering Ducati, memang menggentarkan jiwa!
Sistem penghidup Ducati mungkin salah satu cara pemasaran yang ikonik bagi motosikal perlumbaan Itali ini, bila klac ditarik, bunyinya seperti sebuah Evo dengan pelapik OS Giken ‘loceng’. Enjin melahu bunyinya macam semua bahagian enjin nak luruh tapi keunikan inilah yang menjadikan Ducati benar-benar berbeza berbanding supersport yang lain. Kuasanya tak perlu disangkal lagi. Pengendaliannya adalah yang terbaik di kalangan yang terbaik.
Beberapa kemasan aksesori yang penting telah dilakukan oleh pemilik sebelumnya. Misalnya perehat kaki Lightech yang membolehkan Hj Rock berketinggian sederhana menunggang dengan selesa. Aksesori lain termasuklah perumah magnet buatan aloi, pelindung lampu utama Ventura, hugger aftermarket dan shifllight yang diletakkan pada atas perumah meter untuk mengingatkan penunggang supaya tidak over rev. Menukar gear dengan betul adalah penting lebih-lebih lagi bagi sebuah motosikal yang mampu memecut lebih 300km/j tanpa masalah.
Sejujurnya, saya sendiri pun belum tentu mampu menunggang motor ini kerana posisi tunggangannya yang menyakitkan pergelangan tangan dan belakang pinggang. Saya dalam proses akhir untuk membeli semula bike yang mana kategori sportbike telah saya ketepikan dari awal lagi. Umur saya baru separuh dari usia Hj Rock. Kalau cerita kat orang memang malu, kan?
Tapi inilah realiti sebenar dalam kehidupan. Saya tidak nampak Hj Rock akan berhenti dari hobi menunggang motosikal berkuasa tinggi. Kehidupannya cukup sempurna. Tinggal di sebuah rumah kampung berhadapan dengan sungai kecil, dikelilingi pohon-pohon hijau dan udara segar sepanjang masa. Di hujung minggu samada berdakwah atau menunggang motosikal kemana sahaja. Kesimpulannya memang tubuh badan yang sihat adalah fakta penting dalam kehidupan!