Hajat Mempelai Untuk Diiringi Konvoi Ke Majlis Bersejarah

Selepas diumumkan Pulau Pinang dan Kedah sebagai negeri-negeri yang memasuki Fasa 4, pelbagai kelonggaran telah diberikan dan ini termasuk penganjuran majlis perkahwinan mengikut SOP serta kapasiti yang dibenarkan. Peluang ini turut memberi peluang kepada kelab-kelab permotoran menganjurkan aktiviti. Antara yang tidak ketinggalan, kelab permotoran Northern Versys Owners Group (NVOG & Friends) yang memenuhi jemputan walimatulurus oleh rakan bikers.

Berlokasi di Kg. Bukit Teh yang terletak di Bukit Mertajam, jemputan ini adalah hajat mempelai yang juga anak kepada rakan NVOG & Friend yang mahu diiringi konvoi. Hajat mempelai itu berjaya dilaksanakan dan disempurnakan NVOG & Friends.

Para peserta konvoi yang terdiri daripada lebih 50 buah motosikal telah memulakan perjalanan di Taman Macang Manis sekitar jam 12 tengah hari. Konvoi ini bergerak bersama pasangan pengantin menuju ke Kg. Bukit Teh dan disambut para penduduk kampung, jiran tetangga serta hadirin yang meramaikan lagi majlis.

Suasana sungguh meriah dengan masyarakat yang masih lagi mengamalkan amalan tradisi bergotong-royong untuk kenduri kahwin. Pelbagai juadah disajikan kepada para tetamu yang hadir dan orang ramai yang tidak putus-putus meraikan pasangan raja sehari. Para bikers yang hadir turut berasa gembira kerana konvoi bermotosikal berkuasa tinggi mendapat perhatian orang ramai khususnya kanak-kanak yang hadir.

Sesi bergambar bersama pasangan pengantin dan bikers menyerikan lagi majlis dengan pelbagai telatah dengan gurauan senda tawa bersama gelagat mencuit hati abang-abang bikers menggamatkan suasana. Setelah menjamu selera dan bersalaman, para peserta memohon diri untuk bergerak ke destinasi seterusnya.

Aktiviti ride walimatulurus kelab NVOG & Friends kali ini dapat mengeratkan lagi hubungan rakan-rakan kelab yang tidak ketinggalan turun bertemu rakan-rakan yang sudah lama tidak ketemu akibat PKP yang lalu. Persahabatan ahli NVOG & Friends terserlah bila adanya aktiviti sebegini.

Para bikers NVOG & Friends mengucapkan selamat pengantin baru kepada pasangan pengantin Nor Shafikah Binti Azyushazal dan pasangannya, Muhammad Alimin Bin Izani. Semoga kekal bahagia sehingga akhir hayat.