GPX Malaysia

Sempena penganjuran Northern Bike Week 2019 yang lalu, GPX Malaysia telah mengadakan sebuah majlis pelancaran model-model terbaharu di reruainya. Antara model-model motosikal yang dilancarkan termasuk Gentleman Immortal black SE, Racer200, Demon GR Special edition, Demon GN150 dan Legend 150.

Salah satu model yang sempat diulas dan dinilai adalah model sportbike dari Thailand, GPX Demon 150GR. Berada di pasaran Malaysia menerusi pengedarnya, Bike Continent Sdn Bhd., sportbike ini mendapat julukan ‘Panigale Mini’ dan dijual pada harga di bawah RM10,000 tidak termasuk insurans.

Digelar sebagai ‘Panigale Mini’ ekoran rekabentuk GPX Demon 150GR ini yang mirip superbike popular, Ducati Panigale. Namun begitu, ia bukan klon kerana jika dibandingkan dengan teliti, GPX Demon 150GR menampilkan rekabentuk yang tersendiri.

Dilancarkan sejak Disember 2017 di Thailand, GPX Demon 150GR ini ditawarkan dalam dua varian: Luxury dan Sport Edition. Dijana enjin 4-lejang 149cc dengan kotak gear manual 6-kelajuan, manakala berat badan 130kg. Sportbike aras mula ini mampu memecut sepantas 125kmj. Kehadiran Demon 150GR ke pasaran Malaysia pasti menggembirakan peminat dua roda tempatan yang mahukan sebuah jentera bergaya dan mampu milik.