Gegor Manjung Bike Week 2019

Berlangsung selama 3 hari bermula dari 20 September hingga 22 September lalu, Gegor Manjung Bike Week 2019 dianjurkan Kelab Motosikal Manjung atau Manjung Bikers Club (MBC) yang bertujuan untuk bertemu sahabat-sahabat lama dan berkenalan dengan sahabat baru dalam dunia permotoran. Di samping itu, mengumpulkan jentera dua roda melibatkan pelbagai jenis motosikal dari seluruh Malaysia. Selain itu, penganjuran acara ini juga dapat mengikatkan lagi tali silaturahim dan ukhwah bersama bikers sama ada dari Malaysia mahupun jiran tetangga dan dalam masa yang sama mempromosikan bandar Lumut sebagai Bandar Maritim.

Bagi makluman anda, MBC didaftarkan semula pada 19 Mei 2014 setelah pendaftarannya dibatalkan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (PPM-010-08-19052014) yg diterajui oleh Tuan Hj Osman bin Eksan sebagai Presiden sejak 2014 dan Setiausaha MBC ialah Puan Normah binti Daim sejak 2018. Ahli MBC adalah seramai 99 org. MBC sekali lagi menganjurkan Gegor Manjung Bike Week yang merupakan program yang diadakan 3 tahun sekali. Penganjuran kali ke 7 ini pula diadakan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Manjung, Marina Island Pangkor, Polis DiRaja Malaysia dan Tentera Laut DiRaja Malaysia yang berlangsung di Marina Island Pangkor.

Dirasmikan oleh Laksamana Pertama Sazalee bin Shoib TLDM selaku Penasihat MBC, penganjuran acara ini berjalan lancar dengan bantuan Geng Motorshow Perak dan Gabungan Kelab Permotoran Malaysia (GKPM) serta sokongan barisan penaja seperti Top Spin Auto, Edly Enterprise, CK 2 Bikers, Pstham Motor, Koyoko Kenda Tyres, CK Motorworld, TNB JanaManjung, SBK Motor, Green Frog 27 Resources dan Ana Lekir Enterprise. Dianggarkan lebih 5 ribu orang telah memeriahkan acara ini yang turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik.

Antara aktiviti yang disediakan pihak penganjur termasuk motoshow, acara pentas, cabutan bertuah, berkaraoke bersama bikers dan gerai jualan makanan serta minuman. Aktiviti motorshow yang dianjurkan dengan kerjasama Mod Firdaus Bin Abd Samad dan Geng Motorshow Perak pula diadakan pada 21 September. Disertai seramai 60 orang peserta yang merebut 50 piala disediakan pihak penganjur termasuk Best Of The Best dan 7 kategori utama yang lain serta beberapa piala khas penonton dan pilihan juri.