Satu lagi acara permotoran dua roda yang berjaya menghimpunkan para peminat dan juga selebriti-selebriti terkenal sebagai tanda sokongan. Legacy Rider 1.0 yang berlangsung di MAEPS, Serdang pada 29 Oktober lalu dirasakan tidak cukup hanya diadakan satu hari!
Sebagaimana acara permotoran dua roda yang lain, Legacy Rider ini juga menyediakan pelbagai aktiviti yang melibatkan motosikal. Antara yang diadakan termasuk Dyno, Autoshow dan Pocket Bike serta menawarkan hadiah-hadiah menarik dan lumayan untuk setiap kategori.
Selain itu, servis motosikal percuma untuk 100 buah motosikal, persembahan ATV dan macam-macam lagi. Acara bertambah istimewa dan meriah dengan kehadiran YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Bin Tengku Abdul Aziz serta barisan selebriti terkenal.
Menghimpunkan para penunggang motosikal, peminat, pemilik dan juga penggiat dunia permotoran dua roda, Legacy Rider turut menjadi platform paling sesuai untuk para peniaga dalam mempromosikan perniagaan masing-masing. Tidak hairanlah, banyak jenama aksesori motosikal dapat ditemui sepanjang acara berlangsung.
Acara yang diadakan penuh meriah ini pastinya tidak berakhir di sini. Tidak sabar rasanya untuk menunggu penganjuran Legacy Rider di masa akan datang. Mungkin lebih besar, lebih hebat dan tawaran hadiah Cabutan Bertuah lebih lumayan. Sama-sama kita nantikan!