Festival Y15/16ZR 2022 Edisi Ketiga

Sebagaimana yang diketahui para pengikut tegar dunia permotoran dua roda, Festival Y15 diadakan setiap tahun tetapi tidak untuk dua tahun lalu akibat pandemik yang melanda dunia. Jika sebelum ini ia dikenali sebagai Festival Y15ZR tetapi dengan keluaran Yamaha Y16, namanya telah diubah menjadi Festival Y15/16ZR.

Setelah berjaya menganjurkan edisi pertama dan kedua dengan penuh bergaya, pihak FT Garage dengan kerjasama Speed Hunter Machine dan Drag Racing menganjurkan Festival Y15/16ZR 2022 buat kali yang ketiga. Diadakan pada 1 Oktober lalu di Midtown Perda Kubang Menerong, acara dimulakan seawal 9.00 pagi dan berakhir sekitar 6.00 petang.

Pelbagai aktiviti telah disediakan yang bertujuan untuk memeriahkan lagi acara ini. Antara yang mendapat perhatian sepanjang acara ini berlangsung ialah Drag Racing, Autoshow Motosikal, gerai-gerai jualan, pameran, cabutan bertuah serta 100 Hadiah Misteri.

Selain hadiah utama sebuah motosikal Y16ZR menjadi tarikan utama, sambutan terhadap penganjuran acara ini dari para peserta juga sangat menggalakkan. Seramai hampir 20,000 orang telah membanjiri Midtown Perda, Kubang Menerong. Kebanyakan para peserta datang dari seluruh semenanjung Malaysia

Majlis perasmian dan penutup acara telah disempurnakan oleh Dato Ahmad Bin Darus, setiausaha Politik kepada Menteri KPKT, wakil ahli parlimen Kepala Batas dan DUN Pinang Tunggal. Bukan itu sahaja, kehadiran selebriti tempatan iaitu Achey, Ali Puteh dan Farid Kamil menyemarakkan lagi penganjuran kali ini. Hadiah utama sebuah Yamaha Y16ZR dimenangi peserta dari Kelantan.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Dato Ahmad. Dengan majlis penyampaian hadiah utama ini, maka berakhirnya berakhirlah sambutan serta penganjuran Festival Y15/16Z edisi ketiga ini sekitar pukul 6.00 petang.

Setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada pihak penganjur dan barisan para penaja kerana tanpa mereka, mungkin penganjuran kali ketiga tidak selancar yang dirancangkan. Antara nama yang terlibat sebagai penaja termasuk FT Garage, ARC, KYT, Wahan Autopart, Hypertech, Koyoko, RK Takasago, Tanker Asia, Rider & Co, Penang Kini, Takasago Excel Asia dan juga Roadstar sebagai media rasmi.