Festival Kopi, Pertunjukan Khas ATM Dan Barisan Artis Sedia Gegar Dataran Shahbandar

Edisi ke-13 Terengganu International Bike Week (TIBW) dijangka bakal menghimpunkan lebih ramai pemilik motosikal sama ada berkuasa besar atau kecil. Acara yang akan berlangsung pada 24 hingga 28 Jun 2026 di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu bukan sahaja menarik pengunjung tempatan malah penganjur turut menyasarkan penunggang berkuasa tinggi dari luar negara.

Antara komuniti ‘bikers’ antarabangsa yang dijangka turut serta adalah dari Thailand seramai 200 buah motosikal, Singapura (40 motosikal), Indonesia (15 peserta), Brunei (10 peserta) dan Amerika Syarikat dengan seorang peserta. Manakala, kehadiran peserta dari Jepun masih belum mendapat maklum balas.

Pengasas East Coast Motorcycle Club (ECMC) yang bertindak selaku tuan rumah TIBW, Tengku Sri Temenggung Raja Terengganu Tengku Datuk Seri Baharuddin menjelaskan bahawa penganjuran TIBW mempunyai sedikit kelainan dan pembaharuan dengan penambahan Festival Coffee dan pertunjukan Survivor Village oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Selain dari itu, TIBW 2026 dimeriahkan acara Cabutan Bertuah dengan Hadiah Utama sebuah Toyota Alphard, Skuter EV dan pelbagai hadiah menarik akan diberikan kepada pengunjung bertuah,” ujar Tengku Baharuddin usai pelancaran TIWB 2026 baru-baru ini.

Untuk melayakkan pengunjung dalam acara Cabutan Bertuah, anda boleh membeli Pakej Gala Dinner berharga RM130 atau Pakej MLM Akustik pada tag harga RM80. Bagi pakej Combo pula disediakan pada harga RM210.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris berharap kehadiran ‘bikers’ sama ada tempatan atau luar negara dijangka memberikan impak limpahan ekonomi kepada rantaian sektor domestik setempat.

Untuk rekod, TIBW 2026 merupakan komitmen berterusan Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu bersama East Coast Motorcycle Club (ECMC) dalam memperkukuhkan momentum Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) serta persediaan awal kempen Tahun Melawat Terengganu 2027 (TMT 2027).

Penganjuran TIBW 2026 merangkumi pelbagai pengisian menarik untuk komuniti permotoran dan pelancong, antaranya persembahan artis undangan seperti Datuk Awie Wings, Black Hanifah, Apex Tajudin, Kumpulan Radio Band dan Bito Beyto.

Selain itu, beberapa persembahan khas antaranya dari Persembahan Kebudayaan Tradisional Terengganu, Persembahan War Dance, Demonstrasi dari pasukan Angakatan Tentera Malaysia (ATM), pertunjukan bot amfibia pameran aset strategik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui program Survivor Village, persembahan Tempur Tanpa Senjata dan demonstrasi Brass Band Rejimen 512 di samping program pada sebelah malam menampilkan Ustaz Azhar Idrus sebagai santapan rohani kepada semua pengunjung.