FASTREXS, Aplikasi Penghantaran Makanan Patuh Syariah
Satu aplikasi penghantaran makanan patuh syariah yang mengkhususkan kepada makanan halal telah diperkenalkan dan kini mula beroperasi di Langkawi. Aplikasi FASTREXS, yang dibangunkan anak tempatan, berfungsi memastikan tiada lagi keraguan bagi masyarakat Muslim yang membuat tempahan makanan.
Ia menjamin makanan yang ditempah tidak akan bercampur dengan makanan tidak halal dalam satu kotak penghantaran yang sama.
“Ramai menyatakan keraguan pada masa kini apabila aplikasi sedia ada turut menerima penghantaran makanan tidak halal dan bercampur dengan makanan yang halal.”Apabila bungkusan dicampur dalam kotak yang sama, mungkin berlaku pertumpahan makanan yang boleh menjejaskan makanan lain.
“Dari situ, kami mengambil inisiatif untuk memastikan hanya produk makanan halal sahaja akan diterima tempahan, sekali gus pengguna tidak perlu ragu lagi,” kata Pengurus Projek FASTREXS Rusmad Norhady Mohamad pada majlis pelancaran aplikasi tersebut di sini malam tadi.
Pulau lagenda ini menjadi destinasi pertama pengoperasian aplikasi ini yang akan dikembangkan ke kawasan lain dari masa ke masa. Sementara itu, melalui satu lagi inisiatif ‘Home Kitchen’, golongan suri rumah berpeluang memasarkan produk makanan mereka sambil berdaftar dengan FASTREXS bagi tujuan keselamatan dan kualiti.
Pengerusi Bersama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Juhari Bulat turut menyokong usaha ini yang membuka peluang kepada suri rumah untuk menjana pendapatan. Pada masa sama, produk komuniti tempatan juga diangkat melalui penghantaran barangan ke pintu rumah atau penginapan pelanggan.
“Ada dua kategori, iaitu makanan dan ‘mart’. Untuk Langkawi, kami fokus kepada produk usahawan kecil dan sederhana (PKS).
“Kami bekerjasama dengan Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA) bagi mengetengahkan produk komuniti ini kepada pelancong,” kata Ketua Pegawai Operasi FASTREXS, Farhan Umar.
Pengenalan aplikasi ini, jelasnya, adalah usaha bagi menyemarakkan lagi sektor pelancongan dan meningkatkan kembali perniagaan PKS yang terjejas akibat COVID-19. – Astro Awani