Sambutan pasaran yang menggalakkan mendorong MODA untuk terus menambah baik model Sporter S ini. Pembangunan Sporter S SKII mengambil kira maklum balas daripada pemilik, pengguna dan komuniti penunggang tempatan. Pendekatan ini selari dengan falsafah MODA, By Bikers, For Bikers.
Justeru, MODA tampil memperkemaskan dan memperkenalkan Sporter S SKII baharu dalam satu acara pelancaran media di Carfe, Petaling Jaya, Selangor. Model ini merupakan evolusi terkini bagi Super Scooter popular MODA, Sporter S.
Untuk rekod, Sporter S mula diperkenalkan kepada umum pada Januari 2025. Semenjak itu, ia telah menjadi model jualan skuter terbaik dalam rangkaian produk MODA. Sporter S SKII menerima beberapa naik taraf bagi memberikan pengalaman tunggangan yang lebih moden dan mudah. Antaranya ialah skrin sentuh TFT 7 inci
yang lebih besar dan jelas.
Maklumat penting tunggangan kini lebih mudah dilihat dan diakses sepenuhnya. Suis pelbagai fungsi baharu pada hendal pula memudahkan penunggang mengawal fungsi utama skuter. Turut disediakan ialah kamera pemuka HD di bahagian hadapan untuk merakam memori sepanjang perjalanan.
Model ini turut dilengkapi pengadang angin boleh laras secara elektronik. Kedudukannya boleh dilaraskan mengikut keadaan dan keperluan tunggangan. Rekaan lampu isyarat berintensiti tinggi dan lampu nyalaan siang di lokasi yang baru membantu meningkatkan tahap keterlihatan skuter di jalan raya semasa tunggangan.
Bahagian hadapan Sporter S SKII kini pula tampil lebih sporty dengan winglet aerodinamik baharu. Rekaan ini membantu mengurus aliran udara dan menyokong kestabilan pada kelajuan lebih tinggi di samping memberikan penampilan yang lebih dinamik. Cermin sisi aloi rekaan baharu juga turut melengkapkan gaya Sporter S SKII yang terkini.
Selain itu, sistem suspensi belakang juga telah dipertingkatkan. Tetapan baharu kini memberikan sokongan dan keselesaan lebih baik dalam pelbagai keadaan jalan. Hasilnya ialah tunggangan yang lebih stabil, terkawal dan meyakinkan dalam pelbagai suasana kendalian.
Sporter S SKII ditawarkan dalam dua pilihan warna baharu, Putih Porsch (Porsch White) dan Biru Titan (Titan Blue). Kedua-dua warna ini dipadankan dengan grafik baharu untuk penampilan yang lebih segar dan menyerlah. Kesemua naik taraf ini menjadikan Sporter S SKII lebih praktikal dan serba boleh. Ia sesuai untuk perjalanan harian, tunggangan santai dan perjalanan jarak jauh.
Pada masa sama, model ini mengekalkan karakter sport sebagai ciri utama yang dihargai oleh pemilik Sporter S. Secara tidak langsung, model ini kekal memperkukuhkan kedudukannya dalam segmen skuter Malaysia serta meneruskan aspirasi MODA dalam segmen super skuter.
Untuk info, MODA Sporter S SKII baharu tampil dengan harga tidak masuk akal. Pada tag harga RM17,998 (harga asas sahaja), anda bukan sahaja memiliki sebuah skuter berkuasa malah berbaloi dari segi penjimatan duit anda.