Tindakan enam penunggang motosikal berkumpul tanpa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) membawa padah selepas mereka masing-masing dikompaun serta-merta, semalam. Kesemua individu terbabit dikesan oleh pasukan Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Daerah Padawan dalam Op Motosikal di Jalan Semedang-Dahan sekitar jam 5.45 petang.
Mengesahkan kejadian, Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan Deputi Superintendan Lim Jaw Shyong berkata kesemua Orang Kena Tuduh (OKK) masing-masing warga tempatan berusia lingkungan 17 hingga 34 tahun.
“Kesemua OKK dikesan berkumpul beramai-ramai di atas jalan dengan tidak mengenakan pelitup muka serta tiada penjarakan fizikal dilakukan.
“Akibat daripada itu mereka ditahan sebelum masing-masing dikompaun oleh pasukan operasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, sebanyak 26 keping saman Pol. 257 pelbagai kesalahan Trafik juga dikeluarkan ketika pemantauan dilakukan di lokasi.
Sumber : sarawakvoice